JOHOR BAHRU – Polis Johor bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuaan Trafik (JSPT) buat julung kalinya akan mendekati dan menyantuni masyarakat setempat melalui Program Ketua Polis Johor bersama Masyarakat sempena memperingati Hari Polis ke-214, bermula Jumaat ini.
Ketua JSPT, Supritendan M. Kumarasan berkata, program selama tiga hari yang diketuai Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan menjelajahi 13 daerah Polis Johor sejauh 774 kilometer.
“Ini merupakan program kali pertama yang dilakukan kami JSPT dan segala persiapan telah dilakukan sejak tahun lepas.
“Program asal dirancang pada November tahun lepas, namun terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19.
“Program ini akhirnya akan dilaksanakan pada Jumaat ini setelah beberapa kali ditunda atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Program Ketua Polis Johor bersama masyarakat ini juga mendapat maklum balas positif dari semua lapisan masyarakat termasuk wakil rakyat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Katanya, program bertujuan memberi peluang kepada orang ramai, terutama di kawasan pedalaman, menemui polis dan memberi maklum balas dengan lebih dekat.
Menurut Kumarasan, dalam program itu, polis secara tidak langsung ingin memberi kesedaran kepada masyarakat pentingnya menjaga keselamatan ketika penuloaran Covid-19.
“Masa sama kita nak memberi kesedaran kepentingan keselamatan membabitkan jalanraya sebenarnya,” katanya.
Pada program berkenaan, JSPT bersama Datuk Ayob akan mendekati pelbagai lapisan masyarat termasuk golongan anak yatim, nelayan, penduduk pulau dan masyarakat Orang Asli.
Jelajah selama tiga hari itu akan disertai isteri Ketua Polis Johor, Datin Zalena Mohd Ariffin. – MalaysiaGazette