Seorang peguam, Pathmarajah Mylvaganam didakwa atas sembilan pertuduhan mengubah wang haram bernilai RM6.5 juta disyaki hasil aktiviti haram sejak 2016 hingga 2018 lalu dihadapankan ke Mahkamah Sesyen Jenayah Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM6.5 juta di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Pathmarajah Mylvaganam, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon kes dibicarakan.

Beliau menghadapi sembilan pertuduhan yang kesemuanya dibacakan secara satu persatu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sesyen Datin Sabariah Othman dan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, Pathmarajah didakwa telah menerima wang berjumlah keseluruhan RM6,536,600 iaitu RM3,735,200, RM640,070 dan RM2,161,330 dalam bentuk cek secara berasingan daripada Tetuan Tan Bee Kim & Partners hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa Malayan Bangking Berhad milik firma guaman Tetuan Mazwan Pathma &Co sebagai rakan kongsi firma guaman tersebut.

Pathmarajah dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di Jalan Maarof, Bangsar Baru antara 8 Ogos 2017 hingga 12 Februari 2018.

Justeru dalam pertuduhan keempat hingga keenam, Pathmarajah didakwa memindahkan wang berjumlah RM680, 370 dan menggunakan RM1,080,000 serta RM2 juta disyaki hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Malayan Bangking milik firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co melalui dua keping cek kepada Mitz Luniques Sdn.Bhd antara 12 dan 15 Februari 2018.

Manakala di hadapan Hakim Kamarudin pula, Pathmarajah juga didakwa atas tiga lagi pertuduhan memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM3,155,242.79 disyaki wang hasil aktiviti haram daripada dua akaun semasa Public Bank milik Tetuan Guaman Mazwan Pathma &Co dalam bentuk beberapa cek kepada dua akaun semasa bank di Public Bank dan Malayan Banking milik firma guaman yang sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Maarof antara 16 Ogos 2017 hingga 21 Mac 2018.

Pathmarajah didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA)

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun, denda lima kali ganda, RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa, Raya Lee Keng Fatt dan Pathmarajah diwakili peguambela, Vignesh Kumar.

Keng Fatt telah menawarkan RM600,000 sebagai wang jaminan untuk tertuduh dengan seorang penjamin bagi kesemua sembilan pertuduhan itu atas alasan bahawa kesalahan yang dilakukannya sangat serius.

Bagaimanapun, peguambelanya, Vignesh dalam rayuannya mahu mahkamah supaya satu wang jaminan yang rendah diberikan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan mempunyai tiga orang anak yang masih meneruskan pengajian tinggi.

“Tuan hakim yang bijaksana, tertuduh mempunyai lebih 40 tahun pengalaman berkhidmat sebagai peguam dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Oleh kerana beliau adalah penanggung tunggal keluarganya, dipohon supaya nilai jaminan ytang rendah dibenarkan,” rayu beliau.

Selepas mendengar hujah peguambela, Pathmarajah dibenarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut menetapkan 4 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.-MalaysiaGazette