Seorang pemandu e-hailing, Sufazrin Ismail, 27, mengaku bersalah kerana membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui perkhidmatan aplikasi Twitter di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing yang pernah didenda kerana membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah didenda RM7,000 kerana mengulangi kesalahan sama di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Sufazrin Amin Ismail, 27, mengaku bersalah di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Sebelum hukuman dijatuhkan Sufazrin selaku Orang Kena Saman (OKS) yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dan memohon maaf atas perbuatan yang tidak disengajakan itu.

“Saya mengaku salah dan meminta maaf kepada YDPA dan rakyat Malaysia atas perbuatan saya tanpa sedar serta saya pernah menghadapi lapan pertuduhan kesalahan sama dan didenda RM16,000 pada tahun lepas.

“Saya tidak lagi memuat naik posting jelik dan berasa insaf, lagipun saya kini terlalu miskin dan menanggung ibu bapa tua dan memuat naik posting jelik itu tanpa sedar melakukan kesalahan itu.

“Saya seorang graduan ijazah sarjana muda Pendidikan Sains Kimia dan mohon tuan hakim prihatin dan memberi peluang kedua,” kata Sufazrin.

Mengikut kertas pertuduhan, Sufazrin melalui perkhidmatan aplikasi Twitter dengan menggunakan nama profil Twitter “Fazr_Ismail” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya yang telah dibaca pada 8 Januari 2020 jam lebih kurang 4.30 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia JSJ Komersial Bukit Aman di Menara KPJ.

Sufazrin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Akta 588 dan boleh dihukumm di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahannya dia boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya dan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas persabitan.

Sufazrin melakukan perbuatan itu pada jam 1.55 tengahari 6 Januari 2020.

Timbalan Pendakwa, Raya Noor Dayana Mohamad mencadangkan tertuduh dijatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada rakyat Malaysia supaya perbuatan berkenaan tidak diulangi lagi.

“Rakyat bebas bersuara, tetapi institusi Diraja harus dihormati di negara ini,” katanya.

M Edwin selepas mendengar rayuan dan cadangan Diana menjatuhkan hukuman denda RM7,000 selain menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya Sufazrin gagal membayarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast