IBU bapa arwah Zulkarnain Idros dan isterinya Hawa Osman bersama barang milik arwah.

JOHOR BAHRU – Ibu kepada siswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang maut empat tahun lalu kerana didera dan dibuli masih menyimpan pesanan suara arwah anaknya bagi mengubati rasa rindu kepada anak sulungnya itu.

Hawa Osman, 61, berkata, antara ayat yang paling dirinduinya adalah ‘Mak datang esok ke? Sayang mak..orang sayang mak’.

Menurutnya, Zulfarhan yang dipanggil along sering kali menghantar pesanan suara kepadanya dengan menzahirkan rindu buat dia dan keluarga.

Ungkapan manis dari arwah yang dihantar menerusi pesanan suara kini masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Memang itulah ayat yang dia kerap cakap. Rindu, sayang mak, orang sayang mak… sayang mak,” katanya.

“Memang mak cik tak buang suara-suara ni. Jadi boleh dikatakan setiap kali rasa rindu mak cik buka telefon bimbit dan dengar suara dia.

“Jadi apabila arwah sudah pergi mak cik tak dapatlah dengar ayat-ayat macam itu lagi,” katanya.

Menurut Hawa lagi, selain suara arwah melalui aplikasi Telegram, baju Melayu berwarna kelabu dan sapu tangan milik arwah juga menjadi tempatnya melepaskan rasa rindu.

“Apabila rasa rindu, baju kelabu atau sapu tangan dia mak cik cium. Sebab dia yang pilih baju dan tema warna kelabu.

“Kalau sapu tangan dia memang ke mana-mana makcik akan bawa. Walaupun dah bertahun bau dia tulah buat hilang rasa rindu makcik,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di Bandar Uda Utama di sini hari ini.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata, setiap kali muncul bulan Ramadan dia juga terbayang keletah arwah yang sering menyakatnya.

“Nanti tahu-tahu dia muncul dekat belakang langsir terperanjatkan mak cik. Lepas tu dia peluk kita, dia ciumlah kita sambil cakap sayang mak… sayang mak.”

“Memang kalau sekali sekala dia balik. Ada saja perkara dia nak menyakat,” katanya.

Ketika kejadian, Zallahyarham Zulfarhan yang berusia 21 tahun dipercayai menjadi mangsa dera disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor kira-kira pada jam 10 malam 1 Jun 2017.

Susulan kejadian itu, lima siswa UPNM dituduh membunuh pegawai kadet laut tersebut, manakala seorang lagi didakwa bersubahat melakukan perbuatan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast