PUTRAJAYA – Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan menyatakan terdapat gangguan internet di Istana Kehakiman serta agensi kerajaan lain semalam.

Ia menyebabkan siaran langsung video prosiding rayuan SRC International Sdn Bhd (SRC) yang diikuti petugas media terganggu untuk seketika.

“Pejabat ini merujuk kepada artikel Free Malaysia Today pada 6 April 2021 bertajuk “Shafee goes ‘silent’ for over an hour during SRC appeal”.

“Dimaklumkan bahawa terdapat gangguan internet PCN (Putrajaya Campus Network) di Bangunan Istana Kehakiman dan beberapa agensi kerajaan lain di sekitar Putrajaya bermula jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.

“Gangguan ini menyebabkan tayangan langsung prosiding Rayuan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman untuk pengamal media tidak dapat ditayangkan.

“Walau bagaimanapun, gangguan tersebut tidak menjejaskan rakaman prosiding rayuan di Mahkamah Terbuka, yang mana semua Peguam dan Pendakwa Raya masih dibekalkan dengan salinan (soft copy) rakaman prosiding selepas prosiding berakhir,” kata dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan insiden ini, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan pembelaan Najib melahirkan rasa kurang senang kepada panel hakim prosiding rayuan ini.

Malah beliau turut mencadangkan supaya beberapa petugas media tempatan diberikan peluang untuk mengikuti prosiding itu bilik mahkamah supaya laporan yang dihasilkan tepat dan komprehensif.

Sebelum ini, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa turut meluahkan perasaan berhubung gangguan perkhidmatan internet yang menyebabkan beberapa pendedahan penting berkaitan kes itu tidak dapat dilakukan.

“Kena tunggu sidang media Tan Sri Shafee dan skuad Bossku untuk buat laporan secara live di media sosial. Kerana itulah dari awal lagi sudah kami gesa supaya prosiding mahkamah berkaitan 1MDB ini dibuat secara live untuk umum tetapi ditolak. Kononnya telus,” tulis dalam Instagramnya.

 -MalaysiaGazette