GIGI bongsu juga dikenali sebagai gigi geraham ketiga. Gigi ini merupakan gigi geraham dewasa yang paling lewat tumbuh ke dalam kaviti mulut. Kebiasaannya, gigi bongsu biasanya tumbuh pada lingkungan umur 17 tahun ke 25 tahun. Ramai pesakit mempunyai keraguan sama ada gigi bongsu harus dicabut sewaktu gigi tersebut tumbuh di kaviti mulut. Kebanyakan pesakit pernah melihat kesengsaraan kawan atau keluarga semasa pertumbuhan gigi bongsu. Ini menambah lagi persepsi mereka terhadap gigi bongsu harus dicabut sebelum mendatangkan kesakitan yang lagi teruk.

Sebenarnya, cabutan gigi bongsu secara rutin adalah tidak digalakkan. Ini kerana cabutan gigi bongsu secara pembedahan akan mendatangkan risiko. Salah satu risiko yang teruk ialah kerosakan atau kecederaan pada urat sarat rahang yang akan menyebabkan kebas (sementara atau berkekalan), perasaan semut-semut (tingling sensation) atau perasaan terbakar pada kawasan saraf (burning sensation).

Di Malaysia, para doktor pergigian akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh negara tertentu. Misalnya, doktor-doktor gigi yang mendapat latihan dari luar negara seperti Wales, Northern Ireland dan England akan mengikut garis panduan United Kindgom iaitu National Institute for Health and Care Excellence (NICE) yang dikeluarkan pada bulan Mac 2000 semasa merawat pesakit yang mempunyai masalah gigi bongsu.

Garis panduan NICE 2000 ini menjelaskan beberapa keadaan di mana cabutan gigi bongsu secara pembedahan adalah diperlukan. Indikasi pertama, kerosakan gigi bongsu yang teruk sehingga tampalan atau rawatan pulpal gigi tidak dapat dilaksanakan. Kadang-kala, gigi geraham kedua yang bersebelahan dengan gigi bongsu akan rosak disebabkan oleh karies gigi dan cabutan gigi bongsu diperlukan untuk memberi laluan kepada rawatan pergigian pada gigi bongsu.

Indikasi kedua pada garis panduan NICE 2000 adalah kerosakan gigi bongsu sehingga terbentuk nanah pada gigi tersebut. Rawatan pulpa pada gigi bongsu secara rutin adalah tidak biasa disebabkan oleh kedudukan gigi bongsu pada jauh ke bahagian belakang rahang bawah menyebabkan susah dicapai dan bukaan mulut pesakit mungkin menghalang rawatan pulpal yang rumit. Sekiranya jangkitan tersebut diabaikan oleh kebanyakan pesakit maka perebakan jangkitan bakteria ke tisu-tisu yang lebih dalam akan berlaku. Keadaan ini dikenali sebagai selulitis.

Ini merupakan satu keadaan yang bahaya disebabkan oleh perebakan jangkitan bakteria ini boleh menyebabkan kesesakan nafas dan boleh meragut nyawa sekiranya rawatan kecemasan tidak diberikan dengan segera, tambahan pula sekiranya pesakit mempunyai penyakit-penyakit imunokompromi seperti acquired immunodeficiency syndrome (AIDS), penyakit kencing manis yang tidak terkawal dan sebagainya. Perikoronitis juga merupakan salah satu indikasi di NICE 2000 di mana pesakit yang mengalami
pertumbuhan gigi bongsu biasanya akan diserang oleh sakit dan bengkak gusi di kawasan sekeliling gigi bongsu. Keadaan ini dipanggil perikoronitis gigi bongsu.

Menurut NICE 2000, serangan pertama perikoronitis pada gigi bongsu ini dianggap sebagai normal dan tidak memerlukan rawatan cabutan. Cabutan pembedahan gigi bongsu adalah diperlukan sekiranya pesakit mempunyai episod perikoronitis yang berulang atau kali pertama perikoronitis ini berlaku dengan jangkitan bakteria
yang amat teruk sehingga muka menjadi bengkak, mulut pesakit tidak dapat dibuka luas dan memerlukan ubat antibiotic yang kuat.

Resorpsi dalaman atau luaran gigi atau gigi bersebelahan juga merupakan salah satu indikasi di NICE 2000 untuk cabutan gigi bongsu. Resorpsi di sini bermaksud kecederaan (pengecutan) yang berlaku pada dinding akar gigi secara dalaman atau luaran. Salah satu  sebab berlakunya resorpi ini adalah disebabkan oleh tekanan yang berterusan dikenakan oleh gigi bongsu pada gigi geraham kedua.

Proses resorpsi ini adalah berlanjutan dan sekiranya tiada rawatan diberikan maka gigi tersebut akan rosak. Gigi bongsu yang patah juga merupakan indikasi untuk dicabut. Gigi bongsu yang patah biasanya tidak dapat diselamatkan disebabkan oleh kedudukannya yang ke belakang kaviti mulut dan kedudukan atau arah gigi patah sukar dikenalpasti.
Kadang-kala, gigi bongsu yang tidak dapat tumbuh ke kaviti mulut yang disebabkan oleh faktor lain misalnya, tumbuh senget (“tidur” atau “baring”) boleh menyebabkan penyakit folikel termasuk sista atau ketumbuhan (tumour).

Sekiranya, tiada rawatan pergigian diberikan maka sista atau ketumbuhan tersebut mungkin tumbuh dengan lebih besar dan akan menyesarkan gigi berdekatan, merosakkan tulang sekeliling gigi dan menyebabkan sakit sekiranya masuk ke kawasan urat sarat rahang. Cabutan pembedahan gigi bongsu bersama rawatan pembuangan sista atau ketumbuhan adalah diperlukan.

Selain itu, cabutan gigi bongsu adalah perlu mengikut NICE 2000 sekiranya
gigi bongsu ini menghalang rawatan ortodontik (pendakap gigi) atau pembedahan rahang
rekonstruktif bagi tujuan pembetulan kecantikan rahang muka. Gigi bongsu ini perlu dicabut sekiranya gig bongsu ini menghalang pergerakan pergigian semasa rawatan ortodontik atau memberi laluan kepada pembedahan supaya dapat mencapai keputusan pembedahan rahang muka yang lebih sempurna dan ideal.

Apabila gigi bongsu terlibat dalam atau dalam bidang reseksi barah maka cabutan gigi bongsu perlu dilakukan. Ini kerana pembuangan barah yang tidak sempurna atau lengkap boleh meninggalkan sisa-sisa barah yang boleh menyebabkan kejadian barah berulang (“kambuh”). Ini mungkin menyebabkan pembedahan kedua diperlukan.

Walaupun para doktor pergigian di Malaysia mengikut garis panduan NICE 2000 semasa merawat pesakit dengan masalah gigi bongsu, namun ada juga pengecualian untuk cabutan gigi bongsu sekiranya justifikasi doktor gigi berpendapat bahawa gigi bongsu tersebut adalah tidak berfungsi dan besar kemungkinan akan mendatangkan kerosakan gigi bongsu pada masa akan datang. Misalnya, pesakit sukar menjaga kebersihan gigi bongsu tersebut dan gigi bongsu pada tempat lain pernah mengalami kesakitan dan diperlukan cabutan.

Maka, cabutan pembedahan gigi bongsu boleh dilakukan sekiranya pesakit faham dengan penjelasan risiko and komplikasi yang bakal berlaku. Secara kesimpulan, pesakit-pesakit yang ada gigi bongsu sama ada mempunyai masalah atau tidak, adalah digalakkan membuat lawatan ke klinik pergigian sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk
mendapatkan rawatan pemeriksaan pergigian dan nasihat yang tepat melalui saluran yang betul.

Dr. John Chong Keat Hon
Pensyarah Pergigan
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia &

Prof Madya Dr. Azrul Hafiz bin Abdul Aziz
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast