KUALA LUMPUR – Tahun kedua umat Islam menyambut Ramadan ketika penularan pandemik Covid-19, memaksa pengusaha restoran dan kedai makan merayu kepada kerajaan agar memberi kelonggaran dari segi operasi perniagaan.
Justeru, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) melihat semula waktu operasi sepanjang Ramadan yang bermula Selasa ini.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, dengan kelonggaran waktu operasi sehingga tengah malam, akan memudahkan pelanggan membeli makanan untuk bersahur.
“Melanjutkan waktu perniagaan ini perlu kerana ada permintaan dari pelanggan untuk mendapatkan makanan sahur.
“Kita akan pastikan semua patuh SOP ditetapkan sebaik mungkin, memandangkan negara masih lagi berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau turut menyentuh mengenai isu kelonggaran kepada pekerja asing untuk kembali bekerja selepas pulang bercuti ke negara asal sebelum ini.
Kata Jawahar Ali, pihaknya mahu kerajaan meneliti semula cadangan membenarkan kumpulan itu masuk ke negara ini untuk kembali bekerja dengan pematuhan SOP yang ketat. – MalaysiaGazette