SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura berharap beliau dapat memberikan butiran lanjut dan mengumumkan keputusan pemerintah berkaitan isu membenarkan jururawat Muslim di republik itu memakai tudung di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos ini.
Menerusi kemas kini di laman Facebook, Lee Hsien Loong menulis bahawa beliau pada awal hari ini telah duduk berbincang secara jujur, terus terang dan penuh bersemangat dengan pemimpin Melayu/ Islam Singapura.
Beliau berkata topik perbincangan adalah berkaitan isu tudung terutama pertimbangan kerajaan untuk membenarkan jururawat memakainya.
“Keputusan pemerintah mengenai tudung tidak muktamad. Secara semula jadi, sikap, nilai serta pandangan masyarakat akan berubah dan berkembang dari semasa ke semasa.
“Dalam persekitaran sosial dan pekerjaan, pemakaian tudung kini sudah terbiasa. Oleh itu, munasabah untuk benarkan jururawat Muslim memakai tudung, jika mereka mahu,” katanya.
Menurut Lee, pemerintah sudah mempertimbang isu ini agak lama.
“Dalam diam, kami teruskan usaha mendekati dan berbincang dengan para pemimpin Melayu/Islam. Tapi kami masih memerlukan sedikit masa lagi untuk mendekati lebih banyak pihak lain termasuk masyarakat bukan Muslim sebelum kami buat keputusan,” katanya.
Beliau berkata pemerintah perlu memastikan semua rakyat Singapura, baik Muslim atau bukan Muslim, bersedia menerima langkah itu.
“Semua orang mesti faham bahawa langkah ini adalah penyesuaian yang dibuat berdasarkan penilaian yang teliti, dan bukan perubahan secara mutlak. Mereka juga harus sedar ada batasnya, supaya kita tidak menggugat keharmonian agama di negara kita.
“Saya meminta para pemimpin masyarakat untuk bantu pemerintah dalam usaha ini,” tulis beliau sebelum diakhiri dengan singkatan namanya, LHL.- BERNAMA
Umat Islam di Singapura wajib diberikan hak untuk mengamalkan ajaran Islam secara bebas tanpa kongkongan dari pihak pemerintah!
Bergitu juga hak2 demokrasi yang lain!