Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2021.

KLANG – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan isu rakaman audio perbualan telefon yang tular.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihak polis telah membuka lebih lapan kertas siasatan berkaitan perkara itu setakat ini dan kes sedang disiasat secara mendalam.

“Itulah prosedur operasi standard(SOP) yang kita akan ambil apabila sesuatu kertas siasatan (merakam keterangan pihak berkaitan), apabila tiba masanya nanti pegawai penyiasat akan panggil merakamkan kenyataan (keterangan Anwar dan Ahmad Zahid), itulah proses siasatan polis.

“Kedua-dua pihak sekiranya merasakan diri mereka teraniaya, bolehlah tampil buat aduan supaya polis buat siasatan,” kata beliau dalam sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir bersama Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed dan melancarkan Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Tapak Padang Surau An-Nur, Bandar Puteri, Klang lewat pagi tadi.

Beliau juga menjelaskan terdapat banyak laporan polis telah dibuat sejak penularan audio itu dan polis mempunyai sebab untuk membuka kertas siasatan dan menyiasat perkara yang telah menggemparkan.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan diteruskan.. proses tindakan siasatan akan dilakukan satu persatu dan hasil analisa makmal forensik ke atas rakaman audio itu akan mengambil masa untuk dapat keputusannya dan kita sedang menunggu hasilnya.

“Sekiranya ada hasil analisis makmal forensik, ia akan diangkat kepada Jabatan Peguam Negara untuk diklasifikasikan atas kesalahan dan undang-undang yang diperuntukkan termasuk seksyen yang berwajib.

“Seboleh-bolehnya dalam apa jua kes, kita cuba dapatkan penyelesaian cepat, maka siasatan akan disegerakan,’ katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast