Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan merekodkan seramai 956,723 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin sehingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, dari jumlah itu, 571,472 individu telah diberikan suntikan dos pertama, manakala 385,251 lagi sudah lengkap dua dos.

Kata beliau, sehingga semalam juga seramai 8,443,581 atau 34.80 peratus individu telah mendaftar untuk menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menerusi infografik yang dikongsi menerusi Twitternya menunjukkan Selangor antara negeri tertinggi menerima dos pertama dan kedua, iaitu 76,612 bagi suntikan pertama, manakala 52,133 suntikan kedua.

Selain itu, katanya, Selangor juga menunjukkan negeri tertinggi mendaftar di bawah program PICK untuk suntikan, iaitu 2,263,133 atau 46.70 peratus dari jumlah penduduk.

Berikut laporan harian pemberian dos vaksin mengikut negeri; Perlis 10,017 dos pertama, 8,307 dos kedua, Kedah 33,790 (25,082), Pulau Pinang 36,233 (26,709), Perak 52,677 (41,348), Kuala Lumpur 52,110 (33,603), Putrajaya 7,222 (4,541), Negeri Sembilan 29,771 (17,160) dan Melaka 16,773 (10,419).

Kelantan setakat ini 25,293 dos pertama, 18,951 dos kedua, Terengganu 26,557 (15,805), Pahang 37,827 (29,524), Johor 49,670 (27,682), Sabah 54,058 (41,029), Labuan 3,331 (2,319) dan Sarawak 59,531 (30,639).

Bagi jumlah pendaftaran pula, Perlis 59,209 (31.50 peratus), Kedah 471,487 (29.50 peratus), Pulau Pinang 589,152 (42.60 peratus), Perak 622,074 (32.20 peratus), Kuala Lumpur 689,487 (46.60 peratus), Putrajaya 53,848 (94.60 peratus), Negeri Sembilan 356,500 (42 peratus) dan Melaka 279,777 (39.90 peratus).

Pendaftaran bagi Kelantan setakat ini 268,631 individu atau 21.80 peratus), Terengganu 239,517 (28.50 peratus), Johor 1,069,750 (37.70 peratus), Sabah 398,150 (13.60 peratus), Labuan 27,534 (38 peratus) dan Sarawak 709,818 (34.30 peratus).

Menurut Dr. Adham, kumpulan sasaran bagi tiga fasa pemberian vaksin dan anggaran individu yang akan divaksinasi ialah Fasa I bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 orang bagi kumpulan pertama dan kumpulan utama 2 iaitu petugas barisan hadapan yang membabitkan petugas kesihatan kerajaan dan swasta.

Fasa 2 dari April hingga Ogos ini melibatkan 9.4 juta orang dengan kumpulan utama pertama ialah baki kakitangan penjaga kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan.

“Kumpulan utama 2 ialah warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti jantung, obesity, diabetes dan tekanan darah tinggi serta orang kelainan upaya (OKU).

“Fasa 3 bermula Mei hingga Februari 2022 melibatkan kira-kira 13.7 juta orang dengan kumpulan utama ialah penduduk berumur 18 tahun ke atas dan keutamaan diberikan kepada zon merah, zon kuning dan zon hijau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast