KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jaguh sukan menembak dan Olimpian negara, Datuk Sabiamad Abdul Ahad yang meninggal dunia malam tadi.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu itu.
Menerusi perutusan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar, khususnya kepada sukan menembak.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Menurut perutusan itu, Allahyarham mewakili negara ke Sukan Olimpik Los Angeles di Amerika Syarikat pada 1984 dan beraksi sebagai penembak kebangsaan dari tahun 1981 hingga Allahyarham bersara pada awal 1990an.
Ketika zaman kegemilangannya, Allahyarham mengungguli acara Air Pistol di peringkat Asia Tenggara terutama dalam acara Central Pistol, Rapid Pistol dan Standard Pistol.
Allahyarham pernah meraih pingat emas untuk negara dalam acara 50m pistol lelaki individu di Sukan SEA 1983 di Singapura.
Allahyarham juga aktif selepas persaraaan, membantu sukan menembak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan negara di Sukan SEA 2013 Myanmar, Sukan SEA 2017 Singapura dan Sukan Olimpik Rio 2016. – MalaysiGazette