LONDON – Pemain pertahanan Boca Juniors, Marcos Rojo mendedahkan bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Edinson Cavani berminat untuk kembali ke Amerika Selatan bagi menyarung jersi kelab gergasi Argentina itu.
Sebelum ini, Cavani berdepan hukuman penggantungan tiga perlawanan dikenakan terhadapnya susulan kata-kata perkauman di media sosial peribadi yang dikatakan turut menjadi sebab utama dia dikatakan mahu meninggalkan Old Trafford.
Perkembangan terbaharu itu juga menguatkan spekulasi lagi spekulasi bapa Cavani iaitu Luis yang sebelum ini mendedahkan anaknya mahu menetap berhampiran dengan keluarga.
Luis sudah banyak kali berhubung dengan Naib Presiden Boca Juniors, Juan Roman Riquelme.
“Saya banyak bercakap dengan Cavani. Kami pernah bersama-sama sekitar empat atau lima bulan di Manchester tetapi dia merupakan seorang yang hebat dan kami mempunyai hubungan yang baik.
“Sangat penting bagi seorang pemain seperti Cavani yang mempunyai sejarah hebat bersama Uruguay dan bermain di kelab yang hebat, memberitahu dia mahu datang dan bermain di Boca,” ujar Rojo dalam laporan itu. – MalaysiaGazette