KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan lokaliti di daerah Tawau, Sabah selama dua minggu mulai esok.
Lapan lokaliti itu melibatkan Taman Sri Bukit Tawau, Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Bandar Sri Indah, Jalan Mesra, Kampung Titingan dan Taman Golden Hill.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga kini, sebanyak 76 kes positif Covid-19 dilaporkan dan 220 kontak rapat telah dikesan dalam lokaliti berkenaan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lapan lokaliti di daerah Tawau bermula 12 hingga 25 April ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lapan lokaliti berkenaan dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pelaksanaan PKPD di lokaliti Sungai Passin dalam daerah Matu, Bahagian Mukah di Sarawak, juga selama dua minggu mulai esok.
Beliau berkata, KKM melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu, dengan 32 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil saringan ke atas 64 penduduk.
“PKPD kawasan ini akan berakhir 25 April ini dan pelaksanaannya dibuat bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan Covid-19 dengan cepat dan berkesan, sekali gus menghalang penularan kes di lokaliti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD Penjara Tapah, Batang Padang Perak dua minggu lagi sehingga 26 April ini.
Jelas beliau, PKPD lokaliti itu sepatutnya tamat esok, tetapi KKM mendapati daripada 3,572 ujian saringan yang dilakukan, 891 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta ramai tahanan yang ditempatkan di PKRC belum sembuh sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, berlaku tambahan lokaliti di bawah pelaksanaan PKPD bagi Mukim Hulu Besut, Terengganu.
Sebelum ini, katanya, PKPD dikuatkuasakan di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak di Besut yang dijadualkan tamat pada 20 April ini.
Namun, sehingga semalam, sebanyak 61 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil saringan kontak rapat di lokaliti berkenaan.
“Bagaimanapun, KKM mengesahkan terdapat keperluan kawasan PKPD ini diperluaskan ke dua lokaliti bersebelahan iaitu Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak.
“Ini berikutan daripada pergerakan kes positif Covid-19 di dua kampung ini bagi aktiviti keramaian dan perkumpulan.
“Pelaksanaan PKPD di dua lokaliti baru ini akan bermula 12 April sehingga 20 April,” katanya. – MalaysiaGazette