Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi (kiri).

KUALA LUMPUR – Pengasas produk kecantikan ESW, Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi (Iddin) mengemukakan saman RM1 juta terhadap bekas ejen yang memfitnah dan melemparkan kata-kata kesat ke atas beliau.

Tindakan itu diambil bagi membersihkan nama baiknya termasuk pengurusan ESW kerana beliau berpendapat fitnah adalah satu perbuatan berat dan tidak boleh dipandang remeh.

“Fitnah dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan bukan sahaja mencemarkan nama baik saya, malah reputasi syarikat secara keseluruhannya.

“Tempias ini turut dirasai ejen ESW yang mahu mencari rezeki tetapi kerana fitnah ‘periuk nasi’ mereka terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Diwakili peguam beliau, Hussin Othman dari syarikat guaman Hussin Othman & Co , ahli perniagaan berusia 27 tahun itu menjelaskan, isu berkenaan timbul pada April 2020 semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama (PKP 1.0).

“Jualan mendadak naik namun kekangan untuk mendapatkan bekalan produk dari kilang, disebabkan pelaksanan PKP 1.0 yang ketat, menjadi punca utama fitnah ini berlaku.

“Apabila bekalan produk tidak mencukupi dan tidak boleh diproduksikan oleh kilang kerana PKP, saya dan syarikat dituduh makan duit ejen selain dilemparkan dengan kata-kata kesat.

“Peliknya semua ini disebarkan menerusi ruangan whatsapp tanpa bertanyakan secara empat mata atau menulis aduan kepada saya untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya yang mempunyai 20,000 ejen.

Kes ini bermula pada minggu lalu dan perbicaraan yang kedua akan bersambung pada September depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast