KUALA LUMPUR – Insiden kebakaran di bahagian setor Dewan Bedah Am, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh kelmarin, tidak menjejaskan perkhidmatan hospital itu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ling berkata, api di setor itu berjaya dipadam oleh petugas hospital sebelum anggota Bomba dan Penyelamat tiba.
“Kebakaran kira-kira jam 9.20 malam itu tidak menjejaskan perkhidmatan hospital dan tiga dewan bedah berfungsi seperti biasa.
“Bahkan, insiden itu juga tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Dr. Ding, punca kebakaran masih belum dikenalpasti dan pihaknya menunggu laporan penuh siasatan daripada forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang telah selesai membuat siasatan selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya malam semalam.
Kata beliau, bilik dewan bedah dan sistem lain di dewan itu masih boleh digunakan sepenuhnya tanpa sebarang gangguan.
Sehingga hari ini, jelasnya, tiga bilik dewan bedah iaitu dewan bedah 1, bilik dewan bedah 2 dan bilik dewan bedah 3 telah berfungsi sepenuhnya seperti biasa.
“Setor dewan bedah yang berkaitan masih dalam tindakan kerja pembersihan dan pembaikan oleh pihak hospital melalui syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital, iaitu Syarikat Edgenta Mediserve Sdn Bhd (EMSB) sebelum boleh digunakan sepenuhnya.
“Jabatan Kesihatan Perak beserta pihak hospital akan sentiasa memantau agar keadaan terkawal serta perkhidmatan hospital tidak terjejas serta berjalan dengan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette