Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika di sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah berkaitan penangkapan 36 suspek kartel daging di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Johor. Foto MOHD ADZLAN, 11 APRIL 2021.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 19 syarikat sejuk beku dikenalpasti berkomplot dalam pakatan jenayah berhubung pengedaran kartel daging di Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pembongkaran itu hasil tangkapan 36 orang suspek yang berusia lingkungan antara 28 hingga 67 tahun.

“Mereka merupakan 26 lelaki dan 10 perempuan telah ditangkap.

“Masing masing 15 di Johor, tujuh  di Pulau Pinang, tujuh di Kuala Lumpur, lima Selangor dan seorang di Kedah dan Perak,” katanya pada sidang media Op Kartel Daging di sini hari ini.

Beliau berkata, Op Kartel Daging dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) seluruh negara pada Jumaat lalu.

“Syarikat yang terlibat merupakan pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil, mengikut permit pengimport, syarikat ini hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan,” ujarnya.

Menurut Huizr, hasil siasatan mendapati syarikat terbabit hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan pada 2020.

Bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya mendapati syarikat itu telah mengedarkan lebih daripada 1,000 tan daging kepada 202 pelanggan yang dibuktikan melalui invois yang dirampas.

Siasatan mendapati keuntungan tahunan 19 syarikat berkenaan adalah antara RM1 juta hingga RM52 juta setahun.

“Bekalan yang diterima akan dibungkus semula sebelum diedarkan kepada pelanggan.

“Syarikat ini juga didapati telah menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging yang diimport dari negara Brazil dan yang diterima dari syarikar tempatan bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Menurut Huzir, kes disiasat mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mengikut kesalahan pakat jahat jenayah iaitu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjarak selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, tambah beliau.

Huzir berkata, isu berkenaan telah menyebabkan timbulnya isu status halal terhadap bekalan daging di pasaran. – MalaysiaGazette