Ops Samseng Jalanan dijalankan di Kawasan Perindustrian Indera Mahkota 14, Kuantan, semalam.

KUANTAN –  Pemandu lori kebun sawit antara  27 individu yang ditahan selepas litar haram diserbu dalam Ops Samseng Jalanan melibatkan aktiviti lumba haram dan drag racing di Kawasan Perindustrian Indera Mahkota 14, Kuantan, kira-kira jam 5 petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, mereka yang ditahan itu terlibat dalam pelbagai kesalahan pengubahsuaian kenderaan, berusia dari antara 16 tahun hingga 35 tahun.

Empat daripadanya tidak memiliki lesen memandu.

Daripada 27 orang yang ditahan itu, seramai tiga ditangkap selepas siasatan lanjut di bawah Seksyen 81 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987

”Mereka ini terlibat dalam acara drag racing, melibatkan pelumba menguji kelajuan, yang mana dua buah kereta dilepaskan secara serentak dan menduga kelajuan tertinggi sehingga mencapai garis penamat dari Point A ke point B pada jarak 250 meter,” katanya pada sidang media Ops Samseng Jalanan di Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Kuantan, malam tadi.

Bakri berkata, serbuan itu dibuat hasil aduan orang ramai dan risikan selama seminggu, membabitkan kolaborasi pasukan polis dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Daerah Kuantan.

Operasi ini bagi membanteras aktiviti lumba haram mingguan dalam kalangan pelumba tegar.

”Dalam operasi ini, polis menyita empat buah kenderaan melibatkan kesalahan mengubahsuai enjin dan ekzos tanpa kebenaran, termasuk kesalahan teknikal, lesen memandu, insurans serta lesen kenderaan motor tamat tempoh dan lain-lain,” menurutnya lagi.

Tambah beliau, hasil serbuan itu mendapati ada segelitir pelumba haram sanggup menghabiskan puluhan ribu wang ringgit untuk mengubah suai kenderaan masing-masing.

“Ada pelumba membeli kereta bermodalkan RM18,000 namun proses ubahsuai menelan kos belanja RM40,000.” katanya.

Bakri berkata, tindakan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga akan diambil berdasarkan siasatan kes ekoran pelanggaran SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan kerana berkemungkinan boleh kebejangkitan Covid-19.

“Pihak polis masih menyiasat sama ada aktiviti ini melibatkan pertaruhan,” ujarnya. – MalaysiaGazette