Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tertanya-tanya dengan tindakan pihak tertentu yang mengintip perbualan telefon antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan kedua-dua pemimpin politik itu menafikannya.

Soal beliau, sekiranya rakaman audio kedua-dua pemimpin itu tidak betul, mengapa perlu ada aktiviti mengintip Anwar dan Ahmad Zahid.

Something fishy (sesuatu yang mencurigakan), saya tak faham. Satu takut dengan perkara itu betul.

”Kalau betul, isunya kenapa tapping. Isunya apa, saya tak faham,” katanya merujuk kepada pertanyaan wartawan mengenai perkembangan siasatan polis terhadap isu penyebaran audio kedua-dua pemimpin parti itu, baru-baru ini.

Sebelum ini, lapan laporan polis telah dibuat pelbagai pihak dan ia disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd Hamid Bador setakat Sabtu lalu.

Anwar dan Ahmad Zahid turut dilaporkan akan dipanggil polis bagi merakam keterangan berhubung isu rakaman audio perbualan telefon yang tular.

Mengulas lanjut, Hamzah mempersoalkan, kenapa ada pihak yang tidak senang dengan tindakan individu yang membuat laporan polis.

Sedangkan, individu-individu yang dikaitkan dalam audio itu seharusnya membuat laporan polis terlebih dahulu.

“Kamu nak marah dan suruh orang lain buat laporan, orang lain tidak tahu apa yang kamu cakap. Maka kamulah yang kena buat laporan polis,” katanya lagi.

Pada 7 April lalu, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial.

Audio tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – MalaysiaGazette