KEPALA BATAS – Tindakan pengimport racun makhluk perosak tidak berdaftar menggunakan nama pengimport baja untuk menyeludup masuk racun paraquat dichloride dari China berjaya dibongkarkan.
Kegiatan mereka terbongkar selepas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang memeriksa sebuah kontena yang dibawa masuk menerusi Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT) pada 26 Mac lau.
Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Mohd Nasir Warris berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 80 tong berisi racun paraquat dichloride seberat 17,600 kilogram yang dianggarkan bernilai RM171,212.
Katanya, konsignan itu diimport dari syarikat berpangkalan di Wilayah Anhui, China dan pengimport telah cuba mengaburi pihak penguat kuasa dengan mengisytiharkan ia sebagai baja Syarikat Aygio Enterprise.
Jelas beliau, rampasan itu merupakan kali pertama melibatkan pengimportan racun makhluk perosak tidak berdaftar sekali gus rampasan terbesar bagi tahun ini.
“Racun yang dirampas itu juga merupakan racun makhluk perosak teknikal gred digunakan bagi pengilangan menghasilkan produk racun untuk dijual di pasaran.
“Bahan itu jika dikilangkan boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 3,000 tong racun paraquat dichloride sebanyak 13 peratus yang dianggarkan bernilai RM450,000,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pertanian Bumbung Lima di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Illiyas Saad; Pengarah Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Mat lesak Ngathinee; Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Muhaimin Ibrahim, Pemangku Pengarah MAQIS, Noriah Dahlan.
Mengulas mengenai racun paraquat dichloride, Mohd Nasir menegaskan racun yang mengandungi bahan ini telah diharamkan penggunaannya di negara ini sejak 1 Januari 2020 kerana ia bukan sahaja berbahaya kepada alam sekitar, malah kepada pengguna itu sendiri.
Kata beliau, racun paraquat dipercayai mengandungi perawis aktif yang menyebabkan sifat membunuh kepada rumpai apabila terkena pada bahagian tumbuhan dan bertindak cepat serta tahan siraman hujan walaupun dalam masa singkat selepas kerja semburan dilaksanakan.
“Justeru, bagi mengatasi masalah lambakan racun makhluk perosak tidak berdaftar ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Unit Serbuan Bahagian Kawalan Racun dan Baja akan melakukan penguatkuasaan lebih kerap.
“Pengguna dan petani dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menjual racun makhluk perosak tidak berdaftar itu dan apabila dikuatkuasakan, pengguna ingkar boleh dikenakan denda RM10,000 bagi kesalahan pertama dan RM50,000 bagi kesalahan kedua mengikut Akta Racun 1952,” kata Mohd Nasir.
Kes disiasat di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 mengikut Seksyen 13 (1) iaitu mengimport racun makhluk perosak tidak berdaftar.
Untuk rekod, racun berkenaan tiada antidot dan tidak mudah terurai dalam tanah serta mendatangkan kesan buruk jangka panjang seperti dermatitis, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, kanser kulit, parkinson, ketidaksuburan, keguguran dan kecacatan bayi. – MalaysiaGazette