Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Sebentar lagi akan bermula prosiding rayuan penyewelengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sudah masuk hari kelima.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Ahli Pekan itu didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

Khamis lepas, tiga panel hakim diberitahu bahawa sebahagian besar pinjaman RM4 bilion kepada SRC oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mungkin boleh lesap namun tiada laporan polis dibuat.

Peguam bela mewakili Najib, Harvinderjit Singh berhujah bahawa kecurian boleh berlaku di luar struktur korporat SRC yang pernah menjadi anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, bekas perdana menteri itu bukan seorang ejen atau diamanahkan dengan RM42 juta yang dikatakan sebahagian daripada RM4 bilion sehingga telah melakukan pecah amanah jenayah.

Ketika itu juga Hakim Vazeer Alam bertanyakan kepada Harvinderjit, bagaimanakah transaksi sebanyak itu boleh dilakukan seandainya tidak ada sebarang laporan polis dibuat tentang jumlah tersebut.

“Ketika pemeriksaan balas sebelum ini, bekas Pengerusi SRC, Tan Sri Ismee Ismail dan Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin tidak tahu tentang wang yang telah ‘keluar’ itu. Ismee terkejut.

“Hanya Suboh sahaja yang boleh buat laporan polis tetapi beliau tidak tahu tentang wang tersebut manakala Ismee tampak terkejut ketika soal balas,” katanya.

Sambung Harvinderjit, Suboh dan bekas Ketua Eksekutif SRC, Nik Faizal Ariff Kamil yang kini ‘hilang’ adalah penandatangan SRC tetapi pasukan pendakwaan percaya wang berbilion itu telah dikeluarkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low didakwa telah menggunakan pengurusan kanan SRC serta beberapa pegawai Ambank untuk bersubahat mengeluarkan wang tersebut.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi KL pernah diberitahu saksi sebanyak RM4 bilion pinjaman kepada SRC diluluskan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang kemudiannya telah dipindahkan serta merta ke akaun luar negara.

Ketika ini juga turut dimaklumkan wang tersebut telah dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland dan statusnya belum diketahui.

KWAP meluluskan pinjaman pertama berjumlah RM2 billion kepada SRC International pada 2011 dan pinjaman kedua dengan jumlah sama pada tahun berikutnya.

Rayuan yang didengar oleh panel diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam sebentar lagi. -MalaysiaGazette