Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menolak dakwaan beliau menangguhkan pelantikan ketua-ketua polis seperti yang didakwa dalam media sosial baru-baru ini.

Sebaliknya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat  Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), kebetulan beliau adalah pengerusinya.

“Saya tak campur urusan polis, saya minta maaf kalau ada orang berkata begitu.

“Saya adalah pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis, kalau ada keputusan itu, ia adalah keputusan suruhanjaya.

“Tapi keputusan itu kadangkala ada khilafnya,” katanya sidang media selepas Wacana Meja Bulat di Putrajaya, hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau akan bertemu dengan Hamzah dalam tempoh terdekat bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan pertukaran jawatan pegawai kanan polis yang ditangguhkan.

Menurut Abdul Hamid, penangguhan pertukaran itu tanpa pengetahuannya kerana sedang bercuti.

Saya akan berjumpa dengan beliau (Hamzah) dan memberikan penjelasan teliti mengapa ia perlu diteruskan (proses pertukaran pegawai kanan).

“Tindakan saya mengeluarkan perintah pertukaran itu seperti mana undang-undang menyatakan Command and Control kawal selia polis adalah di bawah tanggungjawab saya kepada Ketua Polis Negara,” demikan menurut Hamid pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Hamzah mengakui keputusan penangguhan pertukaran itu ada yang tidak dapat diterima oleh beberapa pihak.

Namun, keputusan yang diambil berdasarkan majoriti. Seharusnya keputusan itu perlu dilihat sebagai keputusan SPP.

“Ya, saya menteri tapi saya juga pengerusi. Itu keputusan majoriti dan saya mengikut majoriti,” jelas beliau.

Hamzah berkata, kedudukan SPP adalah lebih tinggi kerana anggota-anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong manakala pelantikan Ketua Polis Negara berdasarkan watikah Agong.

Ditanya samada beliau sedia untuk mengadakan pertemuan dengan Hamid berhubung perkara itu, Hamzah enggan mengulas lanjut.

“Soalan lain,” katanya yang enggan menjawab soalan tersebut.

Sebelum ini, tular satu mesej kononnya berlaku campur tangan politik membabitkan menteri Kabinet sehingga arahan pertukaran ketua-ketua polis tertangguh.

Mesej itu berbunyi: ‘Nampaknya campur tangan politik dalam Command dan Control of PDRM dah melampau..Dengarnya pertukaran KP yang diarahkan oleh KPN ditangguhkan dulu atas arahan menteri”.

Penangguhan arahan pertukaran pegawai kanan membabitkan seramai 71 orang termasuk ketua polis negeri yang akan berkuatkuasa 12 April ini. – MalaysiaGazette