Parti Tindakan Demokratik (DAP), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Datuk Teng Chang Khim berkata, struktur dan budaya pemilihan partinya telah mengalami perubahan.

Katanya, daripada mengutamakan prestasi, DAP kini perlu bergantung kepada belanja makan-makan semasa berkempen untuk pemilihan parti.

“Semasa era Barisan Nasional (BN), ia adalah sukar untuk rekrut ahli, apatah lagi jika kami mahu memperluaskan cawangan.

“Perebutan untuk menjadi ahli jawatankuasa pusat dan negeri adalah sengit pada masa itu kerana kami perlu menunjukkan prestasi dan mendapat sokongan ahli yang tidak ramai itu,” katanya kepada Oriental Daily.

Beliau berkata, keadaaan itu berubah selepas 2008 apabila DAP Selangor mula menerima banyak ahli selepas berjaya membentuk kerajaan di Selangor.

Jelasnya, disebabkan pemimpin yang mahu mengukuh sokongan, banyak cawangan parti yang baharu telah ditubuhkan.

“Keadaan ini menyebabkan banyak ahli baharu tidak cukup mengenali pemimpin parti, tetapi mereka menjadi pengikut pemimpin tertentu,” katanya.

Chang Khim mengakui perubahan struktur parti dan budaya pemilihan parti menyebabkan dia memilih untuk tidak bertanding merebut jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat.

“Berdasarkan cara permainan sekarang, ia agak sukar kerana tiada ruang survival untuk saya. Oleh itu, saya memilih untuk tidak bertanding,” katanya.

Dalam wawancara dengan Oriental Daily, Chang Khim memberitahu beliau pernah ditawarkan ganjaran tunai tujuh digit selepas pilihan raya umum pada 2008 untuk meninggalkan DAP.

Chang Khim bagaimanapun melihat tawaran itu sebagai penghinaan terhadap usaha berterusannya yang mahu menukar kerajaan pada masa itu. – MalaysiaGazette