Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Datuk Mohd Zarif bercakap pada sidang media berkenaan perlaksanaan MRT3 di Menara KEN, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 13 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – MRT Corp. mensasarkan untuk menerima 10 hingga 30 peratus dana persendirian bagi pembinaan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, penglibatan syarikat persendirian secara tidak langsung akan membantu mengurangkan kos pembinaan yang perlu ditanggung kerajaan.

“Buat masa ini ia adalah model hibrid. Kerajaan memang akan menaja MRT3 tetapi adalah tanggungjawab MRT Corp membantu kerajaan dalam mengurangkan beban kos pembinaan,” katanya dalam taklimat di sini hari ini.

Mohd Zarif berkata, MRT Corp akan menjemput syarikat-syarikat persendirian yang bersedia untuk melabur dalam projek pembinaan MRT3 ini.

Dalam pada itu, katanya, MRT Corp turut memberi tumpuan untuk mengurangkan penglibatan pekerja asing dalam projek itu nanti.

Ia selari dengan polisi kerajaan yang tidak mahu negara terlalu bergantung dengan tenaga kerja asing.

Justeru beliau berkata, rakyat Malaysia dalam kategori pemain industri sehingga ke peringkat pembinaan digalakkan bersama-sama melibatkan diri dalam pembinaan projek pengangkutan awam berkenaan.

“Kalau kita tidak mulakan dalam projek kali ini, kita tidak akan buat pada projek yang lain. Jadi macam mana kita hendak kurangkan pekerja asing?

“Apa yang kita perlukan adalah penglibatan pekerja-pekerja tempatan. Kita perlu tukar cara ini, jadi kita kena tukar bekerja juga,” katanya lagi.

Untuk merealisasinya, MRT Corp akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) termasuklah industri pembinaan tempatan yang lain. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast