KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan proses pemberian vaksin kepada rakyat mengikut fasa-fasa selesai selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu berkata, jaminan itu berdasarkan bekalan vaksin dijangka mula melebihi daripada jumlah pendaftaran pada Jun ini.
Berikutan itu, katanya, kerajaan menganggarkan kadar vaksinasi kepada seluruh rakyat akan lebih cepat.
“Kita mengunjurkan bekalan melebihi permintaan pada Jun dan seterusnya. Ini bermakna, kadar vaksinasi akan lebih cepat,” katanya menerusi ciapan Twitternya.
Beliau bagaimanapun berkata, penghantaran vaksin ketika ini agak rendah berikutan tindakan negara maju yang membolot bekalan itu.
Kata Khairy, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan negara-negara maju. – MalaysiaGazette