Kebersihan gigi dan mulut perlu diberi perhatian. Gambar hiasan

RAMADAN sudah tiba, pelbagai persiapan dilakukan untuk menyambut bulan
Ramadhan yang mulia ini. Puasa merupakan satu ibadat yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam menjelang Ramadan kecuali pada keadaan tertentu yang tidak mengizinkan seperti sakit dan musafir atau lain lain perkara yang memudharatkan.

Persoalan yang sering bermain diminda adalah, apakah perbezaan antara penjagaan gigi dan mulut pada bulan puasa berbanding dengan hari-hari biasa? Semasa bulan puasa kita
sepatutnya menjaga kebersihan mulut kerana sering kali orang yang berpuasa dikaitkan
dengan bau mulut atau dikenali sebagai halitosis.

Semasa berpuasa, kita tidak makan dan minum dan mungkin kurang bercakap kerana keletihan, oleh itu kuranglah air liur dirembeskan kerana kurang diransang untuk dikeluarkan. Air liur atau saliva sangat penting untuk membersihkan rongga mulut secara semulajadi. Biasanya orang yang berpuasa, mulutnya menjadi kering serta sisa-sisa makanan yang terdapat di dalam mulut (yang tidak dibersihkan) menjadi sumber aktiviti bakteria dalam menghasilkan kompaun sulfur yang tidak stabil dan faktor inilah yang menyebabkan mulut jadi berbau.

Bau mulut menyebabkan orang lain menjauhikan diri terutama semasa berkomunikasi.
Islam merupakan satu agama yang sederhana dan tidak didatangkan untuk menyusahkan
umatnya. Prinsipnya, segala bentuk penjagaan dan rawatan gigi dan mulut boleh dilakukan selama seseorang itu berpuasa, asalkan kesihatan umum pesakit dalam keadaan baik dan doktor harus berhati-hati supaya pesakit tidak akan tertelan apa-apa bahan atau ubatan.

Sikap berhati- hati bagi doktor gigi dan pesakit amatlah penting supaya puasa tidak batal
disebabkan oleh menelan mana-mana bahan yang berada di dalam mulut. Rawatan pergigian seperti skaling, cabutan gigi, tampalan gigi, aplikasi varnish fluoride dan lain lain rawatan dibenarkan asalkan bahan ini tidak melepasi ruang khalkum dan seterusnya ke dalam perut.

Injeksi lokal seperti spray, disapu atau diinjeksi terus ke tisu dalaman yang dilakukan
sebelum pencabutan atau perawatan endodontik misalnya juga dibolehkan asalkan injeksi ini bukanlah injeksi yang bersifat nutritional yang bertujuan untuk memberi tenaga, sebaliknya anestesi lokal bertujuan untuk mematikan rasa sakit dan setempat. Ubat kumur juga dibolehkan, dengan syarat tidak menelan.

Walau bagaimanapun, bagi pesakit yang enggan menerima rawatan selama berpuasa
hendaklah mengamalkan cara membersihkan mulut dengan betul bagi memastikan kesihatan mulut dapat dalam keadaan terjaga di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini. Antara amalan yang perlu dilakukan adalah seperti berikut:
(a) Amalan memberus gigi 2 kali sehari iaitu selepas sahur dan selepas berbuka puasa.
(b) Berkumuh dengan ubat kumuh sekali sahaja mencukupi selepas sahur. Elakkan
menggunakan ubat kumuh yang beralkohol kerana ini boleh meransang mulut menjadi lebih kering.
(c) Memakai floss gigi selepas sahur dan berbuka.
(d) Merancang jadual rawatan pergigian diluar waktu puasa misalnya di sebelah malam atau sebelum bulan Ramadhan atau selepas bulan Ramadhan. Walau bagaimanapun, bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera seperti kesakitan yang melampau, bengkak dan bernanah, pesakit hendaklah pergi ke klinik gigi dengan kadar segera dan tidak perlu menunggu tamatnya bulan Ramadhan.

Islam adalah agama yang mengamalkan konsep yang sederhana. Mengikut Buku Garis
Panduan Berpuasa Bagi Pesakit terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga ada menggariskan bahawa tidak batal puasa apabila “Melakukan prosedur tampalan gigi,
cabutan atau pembersihan gigi dan memberus gigi menggunakan siwak (tooth cleanser) dengan syarat individu tersebut tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut”.

Kita juga digalakkan meminum air yang secukupnya semasa berbuka puasa bagi menghindari dehidrasi dan supaya memastikan badan kita mendapat air yang cukup termasuk mulut. Jangan lupa agar menambahkan makanan seperti buah buahan, sayur sayuran dan serat yang cukup. Kita juga disarankan supaya mengurangkan makanan dan minuman yang mengandungi tinggi gula.

Hal ini dapat membantu menjaga kesihatan gigi dan mulut semasa puasa malah kesihatan tubuh secara keseluruhan. Bagaimana pula hukum bersiwak semasa bulan berpuasa? Hukum bersiwak atau gosok gigi selepas gelincir matahari adalah khilaf. Sebahagian memakruhkannya dan sebahagian yang lain mengharuskannya. Pendapat yang sahih dan rajih adalah harus. Dalil tidaklah menetapkan waktu yang tertentu kerana kerana bau mulut yang melampau juga tidak disenangi oleh rakan-rakan yang berhampiran.

Walau bagaimanapun sebahagian besar ulama Shafie menyebut bahawa berkumur-kumur
dengan kadar yang berlebihan adalah satu perbuatan makruh ketika puasa. Sabda Nabi
Muhammad SAW bermaksud: Sesungguhnya bauan mulut orang yang berpuasa itu pada
hari kiamat adalah lebih baik di sisi Allah daripada bauan haruman kasturi"

Ada juga hadis yang menyatakan Nabi Muhammad SAW bersugi dan memperbanyakkan
bersiwak menggunakan kayu sugi adalah di bulan ramadan, samada pagi, tengahari atau petang, ia berdasarkan hadis sohih yang menyebut : Dari ‘Amir bin Rabi’ah berkata "Telah aku lihat Nabi SAW bersiwak tidak terkira banyaknya
dalam keadaan baginda berpuasa” ( Riwayat al-Bukhari).

Namun ita perlu ketahui bahawa Nabi Muhammad SAW bersiwak menggunakan kayu siwak untuk memberus gigi tanpa menggunakan ubat gigi dan sebagainya. Oleh itu, marilah kita sama sama menjaga kesihatan mulut dan gigi walaupun dalam keadaan
puasa. Ikutilah garis panduan yang telah diberi supaya puasa kita tidak batal pada masa yang sama kesihatan mulut dan gigi juga tidak diabaikan.

Wallahualam.

.

Penulis
Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi,
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia
Exco Wanita Remaja dan Kanak Kanak (PAPISMA)

Dr Faezah Rokhani,
Pakar Oral Maksilofasial Perubatan dan Patologi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast