Najib Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya

PUTRAJAYA – Prosiding rayuan penyewelengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah masuk hari ke-6 hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tiba sekitar 8.45 pagi dalam keadaan tenang sempat melambai, senyum  sambil membalas balik ucapan ‘Selamat Berpuasa’ yang dilaung oleh segelintir jurugambar di lobi Istana Kehakiman di sini sebentar tadi.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.  

Semalam, Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa Najib tidak tahu wang dalam akaun bank beliau dipindah masuk daripada SRC.

Ini kerana Najib itu percayawang dalam akaun AmBank beliau merupakan baki daripada sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Peguam beliau, Harvinderjit Singh berkata, kira-kira RM164 juta dipindahkan ke dalam akaun baharu Najib selepas akaun lama yang digunakan untuk menerima sumbangan ditutup pada Ogos 2013.

“Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes itu berkata, Najib semestinya tahu wang RM42 juta yang didepositkan ke dalam akaun beliau datang daripada SRC. Ini satu kekhilafan.

“Hakim perbicaraan terkhilaf ketika menyamakan ‘pengetahuan’ selepas wang dipindahkan dengan ‘ketidakjujuran’. Elemen mens rea ’ketidakjujuran’ bagi pecah amanah adalah berdasarkan ‘niat’, bukan ‘pengetahuan’,” katanya semalam.

Harvinderjit berkata, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang yang memindahkan wang daripada SRC ke dalam akaun Najib tanpa pengetahuannya.

Prosiding hari ini akan bersambung hadapan Hakim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Hakim, Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Hari ini juga hari terakhir untuk pihak perayu yang diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah sebelum pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam prosiding rayuan ini membuat hujahan balas selama empat hari.

Baki empat hari bermula esok pula untuk pihak perayu membalas hujahan pihak pendakwaan. -MalaysiaGazette