JOHOR BAHRU: Sebuah bot tunda tempatan termasuk lima kru ditahan pihak berkuasa kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak 9.8 batu nautika dari Pantai Pulau Tioman, di Mersing, semalam.

Pengarah Perikanan Johor, Noraishah Hashim berkata, penahanan bot tunda dan lima kru itu membabitkan dua warga tempatan dan tiga warga Indonesia.

“Penahanan itu hasil rondaan rutin pemantauan vesel Pantai Timur yang dijalankan di perairan Johor Timur oleh Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Johor.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati sebuah vesel penangkapan ikan Zon C yang mempunyai lima kru menjalankan aktiviti menangkap ikan (menunda) pada jarak sekitar 9.8 batu nautika dari Pantai Pulau Tioman, sebelum bot serta semua kru ditahan.

“Terdapat hasil tangkapan bernilai tinggi seperti sotong dan ikan tenggiri turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noraishah, kapal berkenaan dan peralatan menangkap ikan dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985.

Berikutan itu, Jabatan Perikanan Johor mengingatkan nelayan sentiasa mematuhi syarat lesen supaya tidak menjejaskan sumber perikanan negara yang perlu diurus secara lestari.

Tambah beliau, perbuatan melanggar syarat dalam lesen yang dikeluarkan terutama membabitkan penangkapan ikan dan kapal adalah menjadi kesalahan yang boleh diambil tindakan tegas.

Katanya, ika disabit kesalahan, mereka boleh dikompaun dan peralatan menangkap ikan dirampas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast