JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan sebuah kontena yang membawa 28,350 kilogram bawang merah dari Thailand di Pelabuhan Tanjung Pelepas kerana didapati mengunakan label maklumat yang mengelirukan, pagi kelmarin.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim, pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguasa MAQIS di Pelabuhan Tanjung Pelepas kira-kira jam 11.30 pagi mendapati kontena berkenaan membawa masuk bawang merah dianggarkan bernilai RM251,194.57.

“Hasil pemeriksaan dijalankan, kontena berkenaan didapati mengemukakan dokumen mengelirukan atau maklumat pada dokumen berbeza dengan label pada bawang merah berkenaan.

“Semua bawang merah berkenaan telah kami rampas dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan mengelirukan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesalahan itu juga boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan ke dua atau berikutnya didenda maksimum RM75,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,”katanya.

MAQIS menasihatkan semua pengimport dan pengeksport supaya sentiasa mengikut peraturan ditetapkan kerajaan agarkawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast