Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat secara langsung dalam SRC International Sdn Bhd (SRC) dengan memastikan pinjaman syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) diluluskan

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram berkata, bekas Perdana Menteri itu mempunyai kepentingan peribadi apabila meluluskan jaminan kerajaan KWAP menerusi dua Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM), iaitu pada 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Katanya, Najib memenuhi elemen dengan menggunakan jawatan atau kedudukannya dengan mempengerusikan MJM pada waktu itu untuk membuat keputusan memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman SRC.

Beliau berkata, MJM ketika itu tidak dapat membuat perbincangan secara bebas mengenai jaminan kerajaan kerana Najib mempengerusikannya.

Berikutan itu, Sithambaram menjelaskan, Najib telah menyalahgunakan kuasa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau juga berkata, Najib mempunyai kuasa mutlak terhadap SRC termasuk mengambil alih dan memecat pengarah kerana perlembagaan syarikat berkenaan membenarkannya selaku Penasihat Emeritus.

Ujarnya, peruntukan yang dinyatakan dalam memorandum dan artikel persatuan SRC menyebut tidak ada yang boleh dilantik sebagai pengarah tanpa restu Perdana Menteri ketika itu.

“Pengambilan dan pemecatan dilakukan dengan Perdana Menteri dan bukan dengan dewan,” katanya pada prosiding kes rayuan Najib di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama dengan Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Najib didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.

Sementara itu, pasukan pendakwaan sekali lagi mempertikaikan pinjaman yang diberikan kepada SRC yang didakwa dibuat secara tergesa-gesa.

“Tidak ada kertas kerja, track record dan informasi tentang SRC. SRC tidak menunjukkan kemampuan untuk membayar semula pinjaman.

“Pinjaman itu hanya diluluskan kerana perayu (Najib) secara langsung dan tidak langsung mempunyai pengaruh dalam KWAP. Persoalannya sekarang kenapa perayu (Najib) buat ini semua Yang Arif? Kenapa?’ soal beliau.

SRC didakwa menerima pinjaman sebanyak RM4 bilion dari KWAP antara 2011 dan 2012. – MalaysiaGazette