PARIS – Paris Saint Germain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah walaupun tumpas 0-1 pada perlawanan timbal balik kedua di tangan Bayern Munich pada pagi ini.
Pasukan tuan rumah kendalian Mouricio Pochettino layak ke pusingan seterusnya dengan agregat 3-3 menerusi kelebihan gol di tempat lawan.
Penjaga gol Bayern, Manuel Neuer menghadapi malam yang sibuk apabila diuji Neymar dengan dua percubaan pemain itu terkena palang gol.
Bagaimanapun, Bayern menghidupkan peluang apabila menjaringkan gol pada minit ke-40 menerusi Eric Maxim Choupo-Moting.
Malangnya gol itu tidak cukup membantu pasukan Bundesliga itu berikutan kekalahan 2-3 pada aksi pertama sebelum ini.
Jentera serangan pasukan pelawat kehilangan sengat di hadapan gol setelah Robert Lewandowski tidak diturunkan akibat kecederaan bagi medampatkan gol kedua.
PSG akan bertemu sama ada Borussia Dortmund atau Manchester City yang akan membuat perhitungan awal pagi esok. -MalaysiaGazette