Harry Kane. Foto Eurosport.

LONDON – Bekas pemain Tottenham Hotspur, Jamie O’Hara memberi nasihat kepada kelab itu untuk melepaskan Harry Kane pada hujung musim ini.

Dia berkata, sudah tiba masanya untuk Kane berhijrah mendapatkan piala bagi kariernya.

Kane merupakan ikon bagi pasukan Spurs selepas membuktikan keupayaannya menjaringkan banyak gol dalam lima tahun terakhir bersama pasukanya dengan 236 penampilan dan 162 gol.

Kane dilaporkan mula bimbang prestasi pasukannya yang kian merosot pada musim ini dan kini timbul khabar angin yang menyatakan dia ingin dijual pada musim panas.

“Ini adalah masa yang tepat untuk melepaskan Kane. Sebagai penyokong Spurs, saya pasti tidak mahu melihat Harry Kane meninggalkan kelab,” kata O’Hara kepada talkSPORT.

Menurut O’Hara, skuad Tottenham ketika ini tidak konsisten.

Oleh itu, dia berpendapat lebih baik pemain seperti Kane dijual untuk membiayai pembangunan semula Spurs.

“Jika dia ingin meninggalkan kelab dan kelab itu kini berada di luar kedudukan empat teratas liga, maka pasukan ini perlu dibina semula.

“Prestasi Spurs pada masa ini kelihatan seperti tidak menentu kerana pemain yang mereka ada sekarang tidak cukup bagus. Lihatlah Dele Alli, Harry Kane, Erik Lamela, Davinson Sanchez, Eric Dier, jika mereka dijual ia dapat menghasilkan 200 juta pound dan kita dapat membina pasukan baru,” katanya.

Menurut O’Hara, pasukan Spurs memerlukan pembaharuan dan dia menilai bahawa pemain seperti Kane lebih baik dijual dan diganti dengan pemain muda yang berbakat.

“Tottenham ketika ini terlalu teruk dan mereka tidak cukup baik. Mereka mungkin lebih baik membeli enam atau tujuh pemain muda yang bertenaga dan mampu membawa Spurs ke peringkat seterusnya pada masa akan datang.” katanya.

Menurut khabar angin, Manchester United dan Manchester City berminat untuk mendapatkan khidmat Kane.

Namun, Spurs dilaporkan enggan menjual penyerang itu ke kelab Inggeris. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast