KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mewujudkan satu unit khas bagi mengendalikan kes-kes aduan membabitkan penerima vaksin Covid 19 yang mengalami implikasi kesihatan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dengan ada unit khas itu ia akan memudahkan penerima vaksin yang mengalami implikasi kesihatan membuat tuntutan.
Menurutnya, berdasarkan kejadian-kejadian sebelum ini KKM hanya mengesahkan individu yang telah menerima vaksin dan meninggal dunia disebabkan oleh penyakit kronik iaitu sakit jantung.
“Hampir kebanyakan kematian (selepas menerima vaksin) dirujuk sebagai sakit jantung. Persoalannya adakah ahli keluarga boleh membuat tuntutan bagi penerima yang terkesan ini.
“Atau bagaimana cara ahli keluarga hendak meneruskan tuntutan atas kematian mangsa. Adakah implikasi yang dialami oleh penerima vaksin ini boleh dituntut atau sebaliknya, semua perkara ini masih tidak jelas,” katanya pada sidang media ‘Segera Wujud SOP Tangani Kesan Sampingan Vaksin Covid-19’ di sini, hari ini.
Pada 14 April lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan bersetuju untuk memberi RM500,000 sebagai bantuan khas kewangan kesan mudarat Covid-19 kepada rakyat tempatan dan warga asing di negara ini sekiranya berlaku hilang upaya kekal ataupun kematian disebabkan suntikan pelalian itu.
Menurut Nadzim, sebelum ini kerajaan juga pernah mengumumkan akan memberi bantuan mereka yang terkesan dan perkara itu dimaklumkan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berdasarkan garis panduan yang dilakukan di Singapura.
Tambah beliau, tuntutan amat penting bagi membantu mangsa atau ahli keluarga yang terjejas akibat implikasi kesihatan yang diterima oleh penerima vaksin.
Sementara itu, Nadzim mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas serta telus perlu disediakan KKM bagi memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Ujarnya, dengan adanya SOP itu, hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok mampu tercapai.
Nadzim juga mengesyorkan KKM supaya telus dalam mengeluarkan data penerima vaksin Covid-19 yang mengalami implikasi kesihatan termasuk kematian.
Keterbukaan itu penting bagi mengelakkan tercetusnya berita-berita palsu dari pihak-pihak lain, katanya.
“Ini kerana ada berita yang tersebar bukan kenyataan dari KKM tetapi spekulasi netizen,” jelasnya.- MalaysiaGazette