Dua penduduk, Mohamad Farid Mohd Rashid (kanan) bersama Fauzi Tukimon menghidupkan pelita sebagai dekorasi blok kediaman mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Perumahan Penjawat Awam, Presint 15, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 22 MEI 2020. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk memberi kebenaran merentas negeri semasa perayaan Aidilfitri yang akan disambut pada bulan depan.

Penolong Setiausaha Parti Putra Malaysia, Norli Zaizul Ismail berkata, memang larangan menghadiri keramaian, larangan merentas negeri dan pematuhan penjarakan fizikal merupakan peraturan yang berasaskan sains kesihatan dalam bidang kawalan penyakit.

Namun katanya, pakar-pakar penyakit berjangkit juga perlu melihat aspek tekanan perasaan dan masalah mental kerana ia juga berasaskan sains kesihatan mental.

“Maka, selain pertimbangan dari aspek kawalan penyakit berjangkit berasaskan matrik kebolehjangkitan, status kes Covid-19, kita juga perlu mengambilkira matrik dari segi sains kesihatan mental.

“Sedang kita bimbang akan jangkitan virus Covid-19 ketika bertemu keluarga (pulang ke kampung), kita juga perlu mempertimbangkan tekanan perasaan dan mental mereka kerana tidak dapat beraya bersama dengan keluarga pada tahun ini.

“Ramai juga yang mengalami tekanan perasaan dan mental kerana bimbang dijangkiti virus berbahaya ini, demikian juga mereka yang tertekan kerana terlalu lama terpaksa mematuhi SOP, normal baharu dan terpisah daripada orang tersayang di perantuan dan di kampung halaman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Norli Zaizul berkata, pandemik Covid-19 telah memberi banyak kesan kepada kehidupan sejagat dan demikian juga kepada masyarakat Malaysia, tanpa mengira keturunan, agama dan lapisan umur.

Katanya, ada yang kehilangan ahli keluarga, sahabat tersayang dan ada yang trauma kerana jangkitan virus maut itu.

Tambah beliau, tekanan mental dan perasaan bukan sahaja dialami oleh mereka yang dijangkiti virus tersebut atau kehilangan ahli keluarga, malah masyarakat yang terjejas dan hilang punca pendapatan juga sangat tertekan.

Justeru katanya, kerajaan, pakar-pakar kesihatan disaran agar memberi kebenaran untuk merentas negeri dan pulang beraya di kampung pada Aidilfitri tahun ini.

“Bagaimanapun, semua pihak mestilah mematuhi SOP dan normal baharu supaya tiada kluster Aidilfitri berlaku melibatkan keluarga masing-masing di kampung kelak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast