Johor Bahru – Sebuah Akademi Al-Quran bagi mendidik generasi muda ke arah celik Al-Quran bakal dibangunkan di Johor tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Tosrin Jarvanti berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah mengarahkannya untuk membentuk satu jawatankuasa perancangan bagi pembinaan akademi itu.

Katanya, pada peringkat awal perancangan Akademi Al-Quran ini akan merangkumi semua aspek pembelajaran dan mempunyai asrama.

“Akademi ini sedang dikenalpasti lokasinya. InsyaAllah penentuan tempat ini kita akan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mendapat perkenan untuk perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas Festival Sekolah Agama Angkat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) di Yayasan Warisan Johor di sini, baru-baru ini.

Jelas Tosrin, pembinaan akademi itu sebagai usaha untuk melahirkan qari dan qariah dari Johor yang terbaik bukan sahaja diperingkat negera tetapi antarabangsa.

Jelas beliau, sudah lama Johor tidak meraih gelaran johan qari dan qariah pada Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan.

“Saya rindu untuk melihat wakil dari Johor mendapat tempat johan qari atau qariah di Majlis Tilawah Al-Quran. Rasanya sudah lama kita tidak bergelar johan,”katanya.

Untuk rekod, kali terakhir qari  Johor meraih johan pada Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan ialah pada 2007, manakala qariah pada 2016. – Malaysiagazette