Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus meminta penjelasan Celcom Digi Berhad (Celcom Digi) tentang bagaimanakah usaha penggabungan mereka akan menguntungkan pengguna.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adakah penggabungan itu mampu meningkatkan kebolehsaingan industri telekomunkasi secara keseluruhan.

Beliau memberi respon mengenai Celcom Digi, entiti yang terbentuk menerusi penggabungan operasi telekomunikasi Axiata Group Bhd dan Telenor ASA di Malaysia bakal menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Malaysia.

“Malaysia wajar mempunyai syarikat telekomunikasi bersifat global untuk meneroka potensi penawaran perkhidmatan rentas sempadan. Namun Celcom Digi nampaknya tidak dibentuk untuk tujuan tersebut.

“Medan persaingannya masih di pasaran Malaysia yang sederhana besar. Maka semua ini mewajarkan penilaian sehabis baik kerajaan tentang manfaat penggabungan ini kepada pengguna, kepentingan nasional, kedinamikan industri telekomunikasi dan kepatuhannya kepada kerangka persaingan yang sihat.

“Malaysia memerlukan pemain yang keutamaanya ialah kepentingan dan keperluan pengguna dalan era ‘Internet for Everything’. Untuk ini berlaku, persaingan yang sihat, dikawalselia dengan tekun dan liberalisasi pasaran wajar dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, mempunyai syarikat gergasi telekomunikasi mungkin bukan satu-satunya jalan terbaik untuk mencapai tujuan tersebut.

“Walaupun rundingan ini masih berada pada peringkat ketekunan wajar, ia dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang.

“Celcom Digi akan menerajui industri telekomunikasi tempatan dari segi nilai, pendapatan dan keuntungan. Ia akan menjadi peneraju pasaran dengan jumlah 19.1 juta pelanggan.

“Keputusan ini juga dijangka akan memudahkan Celcom Digi mempercepatkan pelancaran rangkaian 5G pada skala yang pantas dan menyeluruh,” ujarnya.

Bagaimanapun, persoalan tentang kepatuhan kepada undang-undang anti persaingan wajar diteliti dengan sebaiknya.

“Pengumuman yang hanya terfokus kepada pengabungan keupayaan syarikat demi meraih keuntungan berganda mesti diseimbangkan dengan kewajaran menggalakkan persaingan yang sihat dalam pasaran Malaysia yang tidaklah begitu besar.

“Pengumuman Celcom Digi juga wajar menjelaskan kepentingan perlindungan pengguna selepas penggabungan ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast