KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim oleh majikan ke atas pekerjanya kerana berpuasa.
Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, tindakan zalim majikan terbabit telah mengguris sensitiviti umat Islam yang sedang menjalani ibadat berpuasa ketika ini.
“Tindakan majikan tersebut adalah kuno kerana zaman moden ini pekerja mempunyai hak yang dijamin perlembagaan.
“Pekerja juga bebas mengamalkan amalan kepercayaan agama yang diperuntukkan.
“Menghalang dengan menzalimi pekerja adalah satu kezaliman seakan hamba abdi. Ini tidak wajar berlaku di zaman moden ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Polis Klang Selatan menahan empat individu, yang disyaki terlibat dengan kejadian berkaitan dua pekerja lelaki yang dipukul secara bergilir di bahagian belakang kerana berpuasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 4.16 petang semalam di Balai Polis Klang, berkaitan insiden itu.
Kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.
Hanafi berkata, Malaysia sebagai negara yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan perlu dihormati oleh semua rakyat yang berbilang kaum dan bukan Islam.
“Sebagaimana penganut selain Islam dibenarkan mengamalkan amalan kepercayaan masing-masing, maka sudah pasti penganut Islam boleh dan bebas mengamalkan amalan serta kepercayaan mereka tanpa boleh disekat dan dihalang,” katanya.
DPPNS juga menggesa mana-mana pekerja dalam negara ini jika dihalang, disekat dan ditahan daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai penganut Islam untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Langkah itu sebagai tindakan lanjut bagi menjamin hak sebagai pekerja dan penganut Islam,” katanya.
DPPNS mendesak agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak berdiam diri apabila hak asasi umat Islam di halang segelintir bukan Islam yang tidak bertanggungjawab.
“Suhakam perlu bertindak pantas membela dengan mengambil tindakan sewajarnya agar imej dan sensitiviti umat Islam terjamin serta dilindungi daripada sebarang cubaan jahat.
“Siapa sahaja tidak terlepas daripada perundangan. Sesiapa yang didapati bersalah perlu diambil tindakan dan dihukum atas kewajaran.
“Kita berada di dalam sebuah negara bertamadun yang memberikan kebebasan mengikut lunas Perlembagaan.
“Jika perkara ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan wajar, kita bimbamg akan berlarutan yang akhirnya umat Islam terjajah di dalam negara sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette