Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sidang media Pembangunan PIPC di Hotel Jen hari ini.

ISKANDAR PUTERI- Fasa kedua Pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dijangka akan menarik pelaburan baharu bernilai hampir RM5 bilion terutama dalam sektor minyak dan gas hiliran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada fasa tempoh 2020 hingga 2025, Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) menyasarkan pelaburan baharu di PIPC.

Katanya, ia melibatkan pembangunan loji penghasilan produk petrokimia, pembukaan kawasan perindustrian baharu serta pengembangan aktiviti yang  bermula pada fasa pertama.

“Fasa pertama pembangunan PIPC yang bermula pada 2012 telah siap pada tahun 2019.

“Fasa pertama menyaksikan dua pelaburan pemangkin dalam industri hiliran minyak dan gas dibangunkan di PIPC dengan jumlah nilai pelaburan USD29.5 bilion iaitu dari pelaburan Kompleks Bersepadu Pengerang oleh PETRONAS dan usahasama dengan Aramco, dengan nilai pelaburan USD27 bilion. Serta Pengerang Deepwater Terminals oleh DIALOG Group Berhad dan rakan-rakan niaganya dengan nilai pelaburan USD2.5 bilion.

“Pada fasa pertama, Johor Corporation telah memulakan kerja pembangunan Pengerang Industrial Park. Manakala Kumpulan Serba Dinamik memulakan aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih loji di Pengerang eco-Industrial Park.

“Manakala Benalec Holdings Berhad telah mendapat kebenaran merancang untuk pembangunan Pengerang Maritime Industrial Park,” katanya pada sidang media Pembangunan PIPC di Hotel Jen hari ini.

Mustafa berkata, pada fasa kedua juga, JPDC merancang mendapatkan dana untuk penambahbaikan dan naik taraf prasarana dan kemudahan awam yang mampu menyokong pertumbuhan industri hiliran minyak dan gas di Pengerang.

Katanya pada fasa pertama, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan pembangunan RM2.48 bilion.

“Ia untuk 25 pakej kerja pembinaan lebuh raya dan jalan raya, naik taraf jalan persekutuan, pembinaan jaringan saliran dan perparitan di dalam kawasan industri, serta pembinaan kemudahan-kemudahan awam termasuk balai bomba, balai polis, klinik kesihatan, kompleks perikanan dan sekolah di kawasan PIPC.

“Kerajaan Negeri Johor juga telah menyalurkan peruntukan kira-kira RM1 bilion untuk pembinaan penempatan baharu di Pengerang bagi membolehkan pembangunan industri berjalan.

“Pada fasa kedua PIPC, JPDC akan turut mempergiatkan program latihan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan agar mereka berpeluang diambil bekerja dalam operasi industri hiliran minyak dan gas di PIPC dan seluruh Malaysia,” katanya.

Sejak tahun 2013 hingga Mac 2021, JPDC telah melaksanakan 58 program peningkatan kemahiran, melibatkan 4,097 tenaga kerja Malaysia yang menerima latihan di 12 institusi latihan teknikal awam Malaysia.

Program peningkatan kemahiran tersebut diselaraskan dengan keperluan dan permintaan industri dan berjaya menghasilkan kadar pengambilan pekerja setinggi 95 peratus.

Pada fasa kedua, JPDC akan bekerjasama dengan kerajaan Negeri Johor dan pelabur industri di PIPC untuk meningkatkan tahap kemahiran dan persijilan teknikal kontraktor dan usahawan pembekal khidmat tempatan agar mereka berpeluang melayakkan diri menjadi pembekal bertauliah untuk syarikat-syarikat minyak dan gas hiliran di PIPC dan Malaysia.

Ini seterusnya akan membantu pengembangan kapasiti keupayaan kontraktor dan syarikat tempatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast