Sembilan pemuda terlibat kegiatan judi online di dua unit rumah asing di sebuah kondominium di Kampung Attap, ibu negara sebagai mengkaburi mata pihak berkuasa berjaya ditumpaskan dalam serbuan polis Dang Wangi tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis menahan sembilan individu yang terlibat dalam judi online dalam dua serbuan berasingan di kondominium yang sama di Kampung Atap di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah menyerbu sebuah Kondominium di Jalan Talalla, Kampung Atap, di sini pada jam 11.30 malam semalam.

“Hasilnya seramai dua pemuda tempatan berusia 23 dan 27 tahun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik di unit berkenaan berjaya merampas sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima komputer pelbagai jenama, 23 keping kad sim Maxis dan wang tunai berjumlah RM4,666 disyaki hasil kegiatan haram itu.

“Kedua-dua pemuda itu direman sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu hari ini.

Buka operasi di dua unit rumah berbeza demi kelangsungan kegiatan elak mudah tertangkap polis, tetapi tetap tumpas tengah malam tadi. Foto Ihsan: IPD Dang Wangi.

Susulan daripada operasi ini, tambah Mohamad Zainal, pasukannya melancarkan serbuan kedua pada jam 12.30 pagi ke atas sebuah lagi unit di kondominium yang sama.

Hasil serbuan, katanya, tujuh suspek terdiri daripada empat lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga China, dua gadis termasuk seorang warga Vietnam berumur dalam lingkungan 20 hingga 26 tahun ditahan.

“Polis melakukan pemeriksaan di dalam salah satu bilik di unit berkenaan sebelum merampas 18 unit telefon bimbit pelbagai jenama, empat unit komputer pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM950.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan saling bersubahat dengan sindikert dua suspek pertama dan demi mengkaburi pihak berkuasa mereka membuka judi online ini di dua unit berbeza,” ujarnya.

Menurut Mohamad Zainal, kesemua tujuh suspek direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Polis Dang Wangi memohon kerjasama daripada orag ramai yang mempunyai maklumat mengenai judi online menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette