Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan disyaki terlibat dalam satu insiden pergaduhan di sebuah restoran makanan akibat perselisihan faham membeli minuman di Ipoh, Perak baru-baru ini berjaya dicekup polis.

Tindakan itu menyusul selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pergaduhan itu tular di media sosial menerusi akaun Facebook Final Court.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis pada 13 April lalu sebaik selepas kejadian berlaku di premis itu.

“Hasil siasatan polis berjaya membawa kepada tangkapan ke atas dua orang suspek yang dikenalpasti daripada rakaman CCTV milik premis berkenaan.

“Kejadian itu sebenarnya berpunca daripada provokasi dan perselisihan faham antara pemilik restoran dan pelanggan kerana isu pembelian minuman di kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis mendapati hanya dua orang sahaja yang terlibat dalam pergaduhan itu.

Selebihnya adalah pengunjung yang turut hadir untuk menjamu selera di restoran makanan itu dan cuba menenangkan keadaan daripada bertambah buruk.

“Dakwaan yang menyatakan kononnya terdapat penglibatan gengster dari Tapah dan wujud pemerasan ugut tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette