Fatimah bekerja sebagai pembantu kedai rayu bantuan sara anak bongsunya yang lumpuh.

SUNGAI PETANI – “Hati ibu mana tidak sedih melihat anak yang dilahirkan sempurna namun terlantar lumpuh lebih lapan tahun”.

Itu luahan Fatimah Hashim, 48, ibu kepada Aziana Shaari,17, yang dilaporkan lumpuh separuh badan akibat dihempap runtuhan dinding belakang rumahnya di Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal di sini ketika mengambil buah mangga pada usia sembilan tahun.

Fatimah Hashim.

Ibu tunggal kepada enam beranak itu berkata, masih segar dalam ingatan insiden yang menimpa anak bongsunya itu hingga menyebabkan remaja itu hilang sebelah deria pendengaran, selain mengalami kerosakkan buah pinggang, usus serta saluran pundi kencing.

Kata Fatimah, sejak kejadian pada tahun 2013 itu kehidupan keluarganya berubah apabila dia terpaksa memberikan perhatian sepenuhnya terhadap Aziana susulan memerlukan bantuan orang lain untuk menjalani kehidupan harian.

“Saya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan harian RM50 namun apabila Aziana demam atau sakit, saya hilang punca pendapatan kerana terpaksa menjaganya di rumah, selain berulang-alik ke hospital.

Aziana turut hilang sebelah deria pendengaran akibat insiden lapan tahun lalu.

“Kos rawatan Aziana ditanggung sepenuhnya oleh saya memandangkan bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak cukup untuk membeli semua keperluannya seperti lampin pakai buang serta susu khas.

“Bagi meringgankan kos penjagaan saya terpaksa memboncengnya ke Hospital Sultan Abdul Halim dengan cara mengikat dia di bekalang menggunakan kain batik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Aziana Shaari lumpuh separuh badan sejak ditimpa dinding belakang rumahnya ketika berusia sembilan tahun.MalaysiGazette difahamkan, Fatimah dikurniakan enam cahaya mata berusia lingkungan 24 hingga 17 tahun, namun anak sulungnya sudah meninggal dunia manakala anak perempuan yang lain sudah mendirikan rumah tangga.

Aziana Shaari,17, lumpuh separuh badan akibat ditimpa dinding belakang rumahnya ketika berusia sembilan tahun.

Menurut Fatimah, dia mengharapkan bantuan ibunya yang berusia 70-an untuk memantau Aziana ketika dia keluar bekerja.

“Saya akan mandikan Aziana jam 5 pagi sebelum keluar ke tempat kerja, dalam tempoh itu ibu saya yang tinggal berhampiran akan datang jenguk sementara menunggu kakaknya pulang dari sekolah,” kata Fatimah.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, mereka sekeluarga kerap terputus bekalan makanan tambahan pula pandemik Covid-19 menyebabkan tempat kerjanya tidak beroperasi secara teratur.

Fatimah (kiri) menunjukkan ubat, lampin pakai buang yang digunakan anak bongsunya.

“Pernah sekali, hampir seminggu kami terputus bekalan makanan dan saya terpaksa pinjam wang dengan kenalan untuk membelikan barang keperluan Aziana, bagi anak-anak lain pula kami makan nasi berlauk kicap saja.

“Saya tak mahu pinjam wang kerana takut tidak mampu membayarnya dan ia membuatkan saya mengambil keputusan untuk menyediakan makanan sekadar mengenyangkan perut.

“Apa yang memeritkan sekarang sepanjang bulan Ramadan ini warung saya bekerja tidak beroperasi mengakibatkan saya hilang punca pendapatan sekali gus buntu memikirkan nasib kami sekeluarga,” katanya.

Aziana terlantar lumpuh sejak lapan tahun lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 014 314 8891 atau menyalurkannya melalui akaun bank Fatimah Hashim 0230029000588382 (Bank Simpanan Nasional). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast