KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menaik taraf Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) bagi menampung kehadiran pengguna pengangkutan awam yang semakin bertambah.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pada masa ini kapasiti di stesen sentral berkenaan hanya untuk 100,000 orang pengunjung setiap hari namun peningkatan pengunjung sudah lebih sekali ganda.
Disebabkan itu, Kementerian Pengangkutan sedang merancang untuk menyediakan sistem rel pengangkutan awam yang lebih banyak tetapi tempat untuk menampung jumlah penmpang juga perlu diambil kira.
“Apabila pandemik Covid-19 ini berlalu maka kita akan menampung penumpang melebihi 200,000 sehari berbanding dengan kapasiti 100,000 sahaja.
“Kita sedang berbincang dengan pelbagai pihak dan kementerian akan meneraju bagi melihat rancangan lebih jauh bagaimana kita hendak memenuhi semua keperluan ini, jadikan ia sebagai satu rancangan yang lebih holistik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20, Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Mohd Imran Mohd Salim; Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Abdul Hadi Amran dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Nor.
Menurut Ka Siong, KL Sentral merupakan jantung kepada sistem rel negara yang mana semua jaringan rel yang ada, dihubungkan di situ.
Ujarnya, KL Sentral akan menjadi satu tempat yang penting dengan menjadikannya satu kawasan pengangkutan awam bersepadu di ibu negara.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Ka Siong berkata, kementeriannya menyediakan sebanyak lima set alat pengimbas suhu di Stesen Sentral Kuala Lumpur dalam usaha memastikan keselamatan pengunjung di stesen itu terjamin.
Malah, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menggunakan perkhidmatan awam di stesen berkenaan kerana setiap ruang dan kemudahan awam di stesen berkenaan disanitasi setiap jam.
“Saya amat yakin semua pengendali rel, penyedia perkhidmatan dan juga pihak pengurusan Stesen Sentral Kuala Lumpur sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Menurut Ka Siong, sejak penularan wabak Covid-19, stesen KL Sentral tidak pernah mencatatkan sebarang kes positif.
Justeru kata beliau, orang ramai harus sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di stesen tersebut.
Dalam pada itu Ka Siong berkata, pandemik Covid 19 telah menjejaskan hampir semua industri di seluruh negara termasuk industri pengangkutan dan stesen KL Sentral juga tidak terkecuali.
Selama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas, bangunan KL Sentral telah bertukar menjadi kosong dan sunyi.
“Ianya satu gambaran yang ganjil bagi stesen yang sentiasa sibuk ini. Kini setelah pelaksanaan PKP ditamatkan, saya amat berharap situasi di stesen ini kembali beroperasi seperti sedia kala,” tambahnya. – MalaysiaGazette