PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan berhubung isu iklan raya judi yang tular baru-baru ini.
Bagaimanapun Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, Jabatan Agama Islam peringkat negeri terbabit boleh mengambil tindakan susulan.
Namun ujarnya, ia perlu berasaskan penilaian Jabatan Agama Negeri berdasarkan kepada beberapa aspek terlebih dahulu.
“Tentu sekali agensi berkaitan sedang memberi perhatian yang serius kepada perlakuan tersebut. Biar PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan pihak berkuasa negeri selalunya.
“Saya rasa yang dilaksanakan pihak berkuasa itu langkah pertama yang memadai dan kalau ada keperluan, perbuatan sebegitu diteruskan, mungkin ada peruntukan pihak agama negeri yang boleh menilai. Nilai dahulu,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada program menyantuni rakan Food Rider (penghantar makanan) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman video oleh syarikat judi atas talian yang mengajak umat Islam berjudi pada bulan Ramadan bagi memenuhi keperluan kewangan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Klip video berdurasi dua minit 48 saat itu memaparkan beberapa pelakon lelaki dan wanita memakai baju Melayu dengan lagu berkisar mengenai Aidilfitri.
Senada dengan pendirian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah hari ini, Abdul Aziz menggesa agar umat Islam yang terlibat dalam iklan berkenaan supaya bertaubat selepas membantu mempromosikan judi yang jelas diharamkan daripada sisi agama Islam.
“Tentu kita sebagai manusia tidak lepas dan alpa dari melakukan kesilapan, mohon kepada sesiapa sahaja yang beragama Islam yang melakukan apa-apa kesalahan sama ada judi atau sebagainya dan menginsafi rezeki hanya daripada Allah.
“Keberkatan rezeki itu yang kita sangat mengharapkan bukan jumlah yang banyak. Judi salah satu perbuatan yang diharamkan oleh Islam tentu sekali perbuatan ini kalau dilaksanakan termasuk pelakon iklan judi kembali ke pangkal jalan, bertaubat kepada Allah di bulan Ramadan ini.
“Sebelum melakukan sesuatu perkara fikirkan, insyAllah kita letak Allah di depan dan rezeki halal diutamakan. InsyAllah kita mendapat keberkatan di dunia dan akhirat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil bersuara dan memberi teguran berkenaan perkara tersebut – MalaysiaGazette
Kerja JAKIM adalah educate dan kukuhkan institusi i.e. orang2 Islam! dan perlu sedikit proaktif.