KUALA LUMPUR – Pelakon Bront Palarae berkata punca iklan judi raya tersebar sehingga tular di media sosial baru-baru ini kerana pemilik operasi judi dalam talian dan terdapat pihak yang membayar upah untuk pembikinan klip video tersebut.
Justeru, pelakon dan penerbit itu mempersoalkan tindakan polis menahan lapan individu yang merupakan kru bagi video tersebut.
“Kenapa tahan yang diupah? Punca masalah ialah yang mengupah (pelanggan atau pemilik jenama),” ciapnya di Twitter.
Malam tadi, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan kesemua pelakon dalam video itu ditahan di sekitar ibu negara.
Tanpa mendedahkan secara terperinci waktu penahanan mereka, katanya, semua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.
“Semua pelakon dalam video promosi judi online itu sudah ditangkap polis.
“Pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi sudah tangkap pelakon-pelakon ini (video judi online),” katanya.
Klip video tersebut mengundang kemarahan banyak pihak kerana mengaitkan sambutan raya dengan perjudian dalam talian, selain disebarkan ketika bulan Ramadan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pihaknya telah berhubung dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube agar video tersebut diturunkan – MalaysiaGazette
Inilah masalah dengan penguatkuasaan @undang2 itu sendiri. Pelacuran misalnya, yang ditangkap cuma PELACUR atau jaga premis sahaja, BAPAK AYAM, TAUKEH kebiasaanya akan terlepas bergitu sahaja?