Presiden IPF, Datuk T. Loganathan bercakap pada sidang media khas Parti IPF Se-Malaysia untuk menerangkan isu-isu semasa politik di Wisma Tan Sri Datuk MG, Pandithan, Seri Kembangan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) bersedia menjalin kerjasama dengan UMNO dan MCA.

Bagaimanapun Presidennya, Datuk Loganathan Thoraisamy berkata, parti tidak akan bekerjasama dengan MIC.

Katanya, kerjasama dengan MIC adalah sesuatu yang tidak mungkin terjadi melainkan ada persefahamaan selepas pembubaran Parlimen kelak.

“Kita tidak akan tinggalkan BN, malah kita juga akan dan sentiasa bekerjasama dengan UMNO dan MCA tetapi kerjasama itu tidak melibatkan MIC.

“UMNO dan MCA menghormati kita, memahami penderitaan dan perjuangan kita yang sudah lebih 30 tahun ketika ini. UMNO dan MCA juga sedia memberi laluan kepada kita. Tetapi ia tidak berlaku dengan MIC. IPF tidak akan sesekali bergabung dengan MIC.

“Kita tidak dihargai, kita tidak dihormati. MIC juga perlu menyokong IPF dan perjuangannya, apa pula cerita hanya kami yang menyokong dan tertunggu serta meminta. Itu tidak betul,” katanya pada sidang media di Wisma Tan Sri MG Pandithan, di sini, hari ini..

Tambah beliau, IPF tidak mempunyai sebarang keperluan untuk bersama pihak tidak menghormatinya dan ia merupakan keputusan akar umbi dan Majlis tertinggi parti itu

Pertikaian parti ‘serpihan’ untuk menyertai BN bukanlah sesuatu yang baharu dan ini bukan sahaja melibatkan IPF, sebaliknya Kimma dan Makkal Sakthi turut menghadapi maalah yang sama.

Menurut Logananthan, pihaknya sudah mendapatkan lampu hijau untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang namun perbincangan masih lagi berjalan.

“Ada cadangan tentang bertanding di tiga Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), nampak seperti ada lampu hijau tapi kita masih lagi adakan perbincangan serta persefahamaan ketika ini,” kata sambil menambah akan mengumumkan perkara itu pada waktu yang sesuai.

Sementara itu, Logananthan mengingatkan pemimpin dan ahli parti yang hanya muncul pada musim pilihan raya supaya melupakan hasrat untuk bartanding pada pilihan raya akan datang.

“Kita tidak perlukan bidan terjun. Hanya tunjuk muka ketika musim pilihan raya sahaja. Ingat perjuangan kita.

“Saya juga ingatkan mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi, tuduhan, tohmahan dan fitnah terhadap parti akan dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Loganathan juga memaklumkan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) IPF akan diadakan pada September atau Oktober juga tertakluk dengan keadaan pandemik Covid-19 di negara ini

“Mengikut keputusan Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini, pengambilan ahli-ahli baharu telah dibekukan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU 15) dan pemilihan parti.

“Bagaimanapun program mendaftar pengundi terus dijalankan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast