KUALA LUMPUR – Satu babak telefilem Ayat Dari Langit yang memaparkan pelakon Ellie Suriaty menjirus air lalu mencium kaki seorang lelaki kini menjadi bualan netizen di media sosial.
Pelbagai pendapat dilemparkan yang mana ada yang memuji kehebatan lakonan Ellie yang sanggup melakukan apa sahaja demi menjayakan watak dan babak yang diberikan.
Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan kaki siapakah yang dicium oleh Ellie serta apakah reaksi suaminya apabila melihat babak tersebut.
Difahamkan cerita tersebut berunsur pengajaran dan iktibar mengenai ajaran sesat walaupun ada yang meluahkan rasa bimbang apabila babak itu muncul di kaca televisyen kerana takut ada yang terpengaruh.
Drama arahan Rashid Sibir itu akan disiarkan pada jam 9 malam ini di Astro Citra.
Ayat Dari Langit mengisahkan kehidupan Ustaz Muiz dan isterinya yang mengajar ajaran sesat dan mahu pengikutnya mengikut telunjuk mereka. – MalaysiaGazette