Anggota bomba menerima suntikan vaksin COVID-19 khas kepada petugas barisan hadapan di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 11 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 439,286 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Bagi tempoh sama, seramai 695,729 individu telah lengkap menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 1,135,015.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 98,469 diikuti Kuala Lumpur (78,087), Sarawak (68,608), Johor (65,159) dan Sabah (56,184).

Menunurutnya, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor melibatkan 63,160 diikuti Perak (48,802), Sabah (43,268), Kuala Lumpur (38,642) dan Pahang (33,183).

Dalam pada itu jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam adalah sebanyak 8,946,750 atau 36.90 peratus.

Selangor merekodkan angka tertinggi membabitkan 2,356,484 pendaftaran.

Tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Manakala fasa kedua bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta penerima terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas, pesakit penyakit kronik dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga pula dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast