Kanak-kanak yang merupakan pesakit Covid-19 ditemani ibunya merenung ke luar tingkap ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan dan pakar perubatan mempunyai pendapat berbeza tentang keadaan jangkitan semasa di Malaysia.

Ada yang berpendapat COVID-19 di negara ini telah memasuki gelombang keempat, tetapi ia tidak dipersetujui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Adham berkata, peningkatan kes semasa tidak menandakan bahawa jangkitan gelombang keempat sudah mengambil tempat di Malaysia.

“Semasa gelombang kedua, kes juga meningkat mendadak kerana berlaku kluster-kluster di pusat tahanan, tetapi keadaan menjadi stabil selepas itu,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, jangkitan sepanjang minggu berlalu adalah disebabkan aktiviti rentas negeri dan kegiatan sosial.

Katanya, terdapat juga kes yang berlaku kerana aktiviti karaoke di Perak dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, Pensyarah Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor
Dr. Moy Foong Ming berpendapat Malaysia sudah memasuki jangkitan gelombang keempat.

Katanya, gelombang baharu berlaku apabila kes meningkat semula selepas stabil untuk satu-satu tempoh.

Jelasnya, walaupun tiada definisi yang jelas dalam dunia perubatan, tetapi gelombang baharu selalunya merujuk kepada peningkatan kes jangkitan secara berterusan.

“Untuk Malaysia, purata kes pada gelombang ketiga adalah 3,000 setiap hari, tetapi jumlah kes telah menurun kepada 1,300 kes sehari.

“Dengan peningkatan semula ke 2,000 kes dan jika berlaku peningkatan berterusan untuk beberapa hari akan datang, maka ia menandakan kehadiran gelombang keempat,” katanya. – MalaysiaGazette