DENGAN melihat unjuran kes serta kadar kebolehjangkitan, menyambut Aidilfitri di
kampung adalah agak mustahil. Semalam, Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr Adham
Baba mencadangkan aktiviti rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri
ditangguhkan. Menurut beliau, saranan itu dibuat kerana penularan wabak Covid-
19 masih berada di tahap membimbangkan.
Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian
pada 15 hb April 2021 untuk seluruh negara adalah 1.17. Negeri yang mencatatkan
penularan paling tinggi ialah negeri Kelantan dengan nilai R0 1.35 jauh melebihi nilai
kebangsaan.
Sebanyak 7 daerah di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 29 April ini bagi membendung penularan wabak. Sekiranya kadar kebolehjangkitan makin tinggi ataupun pada kadar yang sama, hasrat untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini mungkin tidak tertunai.
Namun, kami menggariskan langkah-langkah yang perlu dilakukan sekiranya masyarakat terutamanya umat Islam di perantauan mempunyai keinginan yang tinggi untuk pulang ke kampung. Langkah-langkah ini perlu dilakukan dengan penglibatan semua pihak bukan hanya untuk pulang beraya malah menurunkan kadar jangkitan dan jumlah kes semasa.
Sama ada kita berada di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan,
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mahupun Perintah Kawalan Pergerakan
Pemulihan, kepatuhan yang tinggi kepada SOP seperti penjarakan fizikal, memakai
pelitup muka, kerap membersihkan tangan adalah amat perlu.
Tinjauan kami mendapati bahawa kebanyakan anggota masyarakat patuh kepada arahan
penggunaan pelitup muka kerana mereka boleh dikenakan kompaun sekiranya tidak
memakai pelitup muka di tempat awam terutamanya yang sesak. Namun, bilangan
yang mengamalkan pembersihan tangan dengan kerap adalah amat sedikit. Masih
belum ramai yang membawa cecair pencuci tangan ‘hand sanitiser’ bersama-sama
mereka setiap masa dan menggunakannya.
Tambahan pula, ramai yang mula alpa dengan mengamalkan sentuhan sesama individu termasuk bersalaman. Aktiviti ekonomi dan sosial telah mula dibenarkan untuk dilaksanakan. Antaranya, pembukaan pasar Ramadan di kebanyakan tempat. Dalam keghairahan membeli juadah untuk berbuka puasa, pengunjung dan penjual dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan SOP seperti yang dijelaskan di atas.
Sekiranya pengunjung mendapati pasar Ramadan yang ingin dikunjungi sesak, ataupun penganjur serta penjual gagal mematuhi SOP, dinasihatkan agar membatalkan hasrat dan pergi ke pasar Ramadan yang lain atau restoran yang berhampiran.
Seperti yang kita ketahui, virus penyebab Covid-19 menjalani tempoh pengeraman
selama 5 hingga 14 hari. Ini bermakna, jika anda terdedah kepada virus tersebut hari
ini, anda akan hanya mempunyai gejala selepas 5 hari atau sebelum 14 hari dari
sekarang. Jadi jika ingin pulang beraya, minggu-minggu awal Ramadhan ini adalah
waktu yang sangat kritikal.
Kita tidak boleh membiarkan diri, keluarga dan kawan-kawan kita sewenang-wenangnya keluar ke tempat sesak dan berjumpa ramai orang jika tiada keperluan mendesak. Ini kerana, apa yang kita lakukan hari ini hanya akan dapat dilihat hasilnya pada minggu-minggu terakhir Ramadhan.
Jika jumlah kes meningkat, musnahlah harapan untuk pulang beraya. Lebih membimbangkan, jika kita langsung tidak boleh beraya dan hanya boleh duduk diam-diam di dalam rumah. Bagi mereka yang mempunyai gejala seperti demam, batuk dan sukar bernafas, cepat dapatkan rawatan dengan segera. Pastikan juga anak-anak tidak dihantar ke sekolah sehingga anda disahkan bebas daripada Covid-19.
Ini amat penting kerana, anak-anak mungkin juga sudah dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala. Mereka boleh menyebarkan penyakit di kalangan rakan-rakan dan guru.
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita bekerja keras untuk menurunkan kes
Covid-19 di negara kita. Ini boleh dicapai dengan pematuhan kepada SOP,
kurangkan masa di luar rumah dan terus berdoa. Bulan Ramadan adalah bulan
yang penuh barakah. Marilah sama-sama kita berdoa terutamanya pada waktu-
waktu mustajab, semoga Allah SWT menghapuskan Covid-19 dari muka bumi ini.
Oleh: Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Universiti Sains Islam Malaysia &
Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed
Pakar Mikrobiologi Klinikal
Universiti Sains Islam Malaysia