PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengingatkan penggiat seni agar lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran berlakon bagi mengelakkan mereka diekspkoitasi untuk kegiatan perjudian dan jenayah.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan, pembabitan mereka dalam penerbitan iklan berbaur aktiviti perjudian kerana ketiadaan peluang lakonan bukan satu alasan.
“Kalaulah saya boleh bagi sedikit nasihat kepada pelakon-pelakon kita supaya mereka lebih berhati-hati.
“Saya faham polis sudah menyiasat dan sebahagiannya pun kata tak tahu apa sebenarnya.
“Cuma kita berharap apabila kita ditawarkan berlakon dan sebagainya kita lebih berhati-hati,” katanya pada sidang media di pejabat KKMM, hari ini.
Jumaat lalu, polis menahan lima lelaki dan tiga wanita yang dikesan terbabit dalam pembikinan sebuah iklan mempromosi aktiviti perjudian dalam talian sempena Hari Raya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua mereka berusia di antara 24 dan 47 tahun itu direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu.
Menurut Saifuddin, dunia seni tidak lagi kekeringan peluang lakonan dan ia mula rancak digerakkan kerajaan sejak awal tahun ini melalui pelbagai inisiatif.
“Kita dunia kesenian tidak kekeringan job untuk drama, filem dan sebagainya.
“Sejak awal tahun ini, di bawah KKMM dan MOTAC banyak job telah mula keluar. Sekarang ini kita ada program nyanyi dari rumah.
“Ini musim yang mungkin jarang berlaku dalam sejarah, di mana kita ada begitu banyak izin penggambaran yang sedang berjalan, maknanya ada banyak job.
“Kita sentiasa menjaga tentang kebajikan artis, sebab itu kita ada program ziarah Finas turun padang dan sebagainya.
“Saya harap janganlah ada alasan tiada job,” katanya lagi. – MalaysiaGazette