Pengerusi Eksekutif, Dr Nungsari Ahmad Radhi

KUALA LUMPUR – Lagi lama negara dalam keadaan darurat memberi kesan kepada kedudukan ekonomi dalam kerana langkah ini tidak menarik pelabur asing.

Pengisytiharan darurat juga tidak memberi isyarat yang baik kepada pelabur asing kerana ia hanya menunjukkan ketidakmampuan Malaysia untuk berfungsi seperti biasa.

Lebih membimbangkan apabila negara-negara serantau tidak melaksanakan darurat seperti Malaysia, kata pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Menurutnya, senario itu telah mengurangkan keyakinan pelabur termasuk pelabur domestik.

”Sedangkan aspek paling penting untuk memacu ekonomi adalah aspek keyakinan. Pengisytiharan darurat itu sendiri menidakkan bahawa kita boleh berfungsi seperti biasa.

“Dengan kita mengisytiharkan darurat, kita sendiri mengatakan bahawa proses biasa kita untuk menjalankan dasar, undang-undang dan sebagainya adalah tidak betul (memadai) sebab itu kita isytiharkan darurat.

“Pengiystiharan itu sendiri telah mengurangkan keyakinan secara dengan paling ketara sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ yang dianjurkan Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Sidang media itu dipengerusikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Mengulas lanjut Nungsari berkata, dalam usaha menarik minat pelaburan, salah satu faktor yang perlu diutamakan adalah sistem penyampaian kerajaan berintegriti dan tidak rapuh.

Sebaliknya perkara itu tidak berlaku sepanjang tempoh darurat apabila ahli-Ahli Parlimen tidak diberi ruang melakukan semakan dan imbang serta berbahas terhadap segala usaha dirancang oleh kerajaan.

“Ini adalah risiko jika mana-mana kerajaan melaksanakan darurat – bukan sahaja Malaysia tetapi negara lain tetapi paling janggal adalah Malaysia hanya satu negara membuat darurat, tanpa membuka Parlimen sekali gus menambah kesan risiko berkenaan,” ujarnya.

Justeru, Nungsari menyokong agar negara kembali kepada sistem pentadbiran yang berasaskan perlembagaan sepenuhnya dengan menarik balik darurat agar Parlimen boleh kembali bersidang.

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid pula berkata, pelaksanaan darurat kali ini sangat berbeza ketika pada krisis kaum pada 1969 apabila pada waktu itu membuahkan hasil dengan kewujudan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Rukun Negara.

Malah, pada waktu itu negara ditadbir oleh satu badan yang bukan sahaja melibatkan ahli politik malah anggota kerajaan termasuk daripada wakil pasukan keselamatan dan pertahanan.

“Namun apabila yang berlaku hari ini, negara ditadbir oleh Kabinet yang mempunyai barisan jemaah menteri paling ramai tetapi tiada hasil boleh dibanggakan apabila pelabur semakin merosot, jumlah pengangguran semakin meningkat dan akhirnya ekonomi terkesan,” ujarnya.

Pada masa sama, Khalid merangkap Ahli Parlimen Shah Alam memaklumkan pihaknya akan menghantar surat kepada Istana Negara esok.

Jelas beliau, ia berkaitan surat permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyembah maklum terhadap kesan darurat kepada ekonomi negara. – MalaysiaGazette